Tahun Ke-7 Soo Wincci Puasa Bersama Umat Islam


UMUM sudah mengetahui bahawa penyanyi dan pelakon cantik, Dr. Soo Wincci pasti akan menyertai umat Islam untuk sama-sama berpuasa setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Malah difahamkan, tahun 2018 merupakan tahun ketujuh figura cantik itu berpuasa. Namun, menurutnya pengalaman untuk kali ini sedikit berbeza memandangkan beliau perlu berpuasa selama 16 jam.

Soo Wincci berkongsi perkara tersebut menerusi salah sebuah entri terbaru di laman Instagram miliknya memaklumkan beliau kini sedang berada Valencia, Sepanyol.

Menurutnya, disebabkan perbezaan yang amat ketara, beliau juga sudah mula berpuasa awal sebagai persiapan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

“Selamat berbuka dari Spain, Wincci kena mula puasa beberapa hari lebih awal kat Spain supaya badan Wincci dapat menyesuaikan diri dengan jadual waktu puasa ygan panjang kat Spain =),” ujar selebriti itu.

Dalam pada itu menerusi entri yang berlainan, Soo Wincci turut memuat naik sekeping foto yang memaparkan juadah berbukanya iaitu sekeping roti, bubur kentang dan segelas air kosong.

Ternyata perkongsian Soo Wincci itu telah menarik perhatian sekaligus menerima pelbagai reaksi positif daripada para pengikutnya di laman berkenaan.

Rata-rata antara mereka dilihat begitu kagum dan tidak henti-henti menghujani ruang komen posting wanita berkenaan dengan pujian-pujian serta ucapan selamat berpuasa.

Bukan itu sahaja, terdapat juga segelintir pengikutnya yang memberi semangat kepada penyanyi ini untuk terus kuat menyahut cabaran berpuasa dalam tempoh yang lebih lama.

Malah tidak ketinggalan, ada juga pihak yang turut mendoakan agar Soo Wincci diberikan hidayah untuk memeluk Islam. –Kedahnews.com