POLIS akan tetap menjalankan siasatan terhadap pelakon wanita popular, Uqasha Senrose yang ditahan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) kelmarin, biarpun artis itu mendakwa dirinya disabotaj.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Roslan Khalid, siasatan kini tertumpu kepada 53 pil daripada enam bungkusan aluminium foil yang ditemui dalam beg tangannya.
Katanya, polis akan menghantar bahan itu untuk ujian makmal dan setelah selesai proses itu, barulah siasatan akan menjurus kepada bagaimana dadah itu boleh berada di dalam simpanannya.
“Kita perlu menjalankan siasatan terperinci mengenainya. Siasatan ini termasuk mengesahkan bahan itu dadah atau bukan, dengan menghantar bahan itu ke makmal.
“Selepas mendapat keputusan ujian makmal baru kami menjurus kepada siasatan lain termasuk bagaimana bahan itu berada bersamanya dan unsur sabotaj jika terbukti ia dadah,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Roslan berkata, tidak timbul isu polis akan menghentikan siasatan berdasarkan dakwaan pelakon terbabit yang menyatakan dia dianiaya
Semalam, media melaporkan pelakon wanita popular itu ditahan polis selepas disyaki memiliki enam bungkusan aluminium berisi 53 biji pil Erimin 5 di dalam beg tangan miliknya.
Dadah sintetik itu ditemui selepas pemeriksaan rapi ke atas pelakon jelita berusia 26 tahun itu yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi, jam 11.45 tengah hari kelmarin. - Kedahnews.com