KUALA LUMPUR – Penyebaran kembali gambar dan video fitnah bersifat provokasi semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dianggap sebagai taktik terdesak untuk mencemarkan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.
Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek menyifatkan senario itu sebagai taktik lapuk kerana masyarakat telah diingatkan mengenai tsunami fitnah pembangkang dalam PRU-14 kali ini.
Katanya, sekiranya benar dakwaan-dakwaan sebagai terkandung dalam video itu berlaku, pastinya sudah ada petisyen pilihan raya berkaitan kes itu dibuat dan pendakwaan pastinya sudah berjalan.
Tambah beliau, lebih parah lagi apabila sesuatu bahan lama itu dimanipulasi melalui suntingan contohnya dengan menukar tarikh kejadian kononnya ia baharu saja berlaku.
“Kalau betul semua itu berlaku ketika pilihan raya umum lalu, di mana petisyen pilihan raya? Setakat hari ini tiada siasatan yang dibuat oleh pihak berkuasa dan sebagainya. Hanya mainan sensasi mereka sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
SPR dalam satu kenyataan semalam menegaskan satu video provokasi yang tular di media sosial kelmarin adalah yang bukan berlaku semasa hari pengundian awal PRU-14 sebaliknya merupakan video lama yang telah ditularkan pada PRU-13 bagi membangkitkan suasana gempar dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu, ujar Abdul Halim, pada saat-saat getir seperti ini, beliau tidak menolak bahawa isu pengundi hantu akan dimainkan semula tetapi mereka tidak lagi menjadikan Bangladesh sebagai sasaran sebaliknya beralih pula kepada warganegara China.
Jelas beliau, perubahan bentuk fitnah itu dibuat berdasarkan isu semasa iaitu kononnya kerajaan sedia ada telah menggadai banyak aset kepada negara berkenaan.
“Kalau dahulu Bangladesh, untuk PRU-14 ini saya rasa China pula akan jadi sasaran mereka. Tapi mereka lupa bahawa senarai daftar pemilih terkini telah dipersetujui oleh mereka. Tuduhan pengundi hantu ini sama sekali tidak berasas,” katanya.
Sumber – Utusan