KETUA Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpotensi untuk bertanding jawatan Naib Presiden, hatta Presiden UMNO pada pemilihan akan datang selepas peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak.
Khairy dilihat sebagai seorang pemimpin muda masa depan UMNO yang berpotensi dan disukai ramai, khususnya anak muda. Namun, perkara itu dengarnya tidak begitu disenangi oleh kem tertentu dalam UMNO. Perancangan sulit mungkin diatur untuk mencantas Khairy. Pemimpin kanan pasti tidak akan memberi laluan mudah.
Apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menunjukkan ia suatu konspirasi yang tidak menjadi. Kemenangan percuma yang memalukan dan tidak bermoral bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan atau dikenali Tok Mat seperti suatu rancangan.
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) DUN Rantau, Dr S Streram yang sepatutnya menentang Mohamad dilihat sebagai ancaman besar kerana peratusan kaum India di DUN Rantau, antara yang tertinggi di Malaysia.
Perancangan strategik
Kesan daripada isu ini sebenarnya, bekas Presiden UMNO, Najib menterjemahkan perancangan ini dengan begitu strategik sekali.
Kaum India mewakili 27 peratus di kawasan itu, dan saya mengandaikan masyarakat India akan membuat protes menolak Barisan Nasional (BN) habis-habisan oleh kerana wakil kaum India mereka yang diwakili oleh PKR ditipu mentah-mentah.
Calon kaum India, Dr Streram bukan calang-calang individu. Doktor pakar yang dekat dengan masyarakat India di Rantau. Pastinya gelombang penolakan dan protes akan berlaku pada kerusi Parlimen Rembau selepas ini.
Mujur Khairy masih memenangi kerusi Rembau. Itu pun selepas beberapa kali kiraan undi semula. Pada awalnya semua media melaporkan beliau tumbang di Rembau.
Inilah perancangan yang barangkali tidak dapat dibaca oleh Khairy, mahupun Pemuda UMNO. Strategi mengerat calon Pemuda berpotensi. Bagaimana?
Calon Pemuda UMNO tidak sampai 40 kerusi yang dipertaruhkan. Peratusan calon Pemuda UMNO difahamkan terlampau rendah berbanding jumlah kerusi yang ada. Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun sendiri tidak mendapat tempat.
Pemilihan parti
Calon Pemuda UMNO yang diketengahkan ialah muka baharu. Ternyata lebih mudah dijinakkan dalam pemilihan parti nanti. Ketua Penerangan Pemuda, Shahril Hamdan yang juga anak buah Khairy, juga kalah dalam pertandingan kerusi Parlimen Kuala Langat.
Bayangkan jika Khairy berdepan dengan risiko penolakan kaum India dan peratusan 'swing' undi rakyat kaum Melayu pada waktu itu maka, benarlah teori konspirasi yang diaturkan.
Tidak perlu banyak, calon Pakatan Harapan hanya memerlukan 30 peratus undi kaum Melayu ditambah dengan 25 peratus undi protes kaum India, pastinya terkubur kerjaya politik Khairy di situ.
Berjayalah perancangan menenggelamkan kekuatan kem Khairy dalam pemilihan UMNO nanti. Apa pun, kita tunggu dan lihat sama ada andaian ini benar berlaku, atau sebaliknya.
Namun, nasi telah menjadi bubur. BN hanya tinggal tiga negeri untuk diperintah. Khairy mula mengeluarkan kenyataan berani dan menongkah arus. Barangkali ia sebagai persiapan memasang benteng bagi menghadapi pemilihan parti nanti.
Sumber: BH Online