Terima Keputusan PRU Dengan Hati Terbuka, Kembali Bersatu


KANGAR - Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan semua pihak menerima keputusan Pilihan Raya Umum  ke-14 (PRU14) dengan hati terbuka dan kembali bersatu sebagai rakyat yang bertanggungjawab  dengan mengetepikan  fahaman politik untuk membangunkan negara ini.

"Yang kalah jangan bersedih dan yang menang pula jangan terlalu bergembira. Setiap yang berlaku itu adalah ketentuan Allah.

"Parti yang menang mempunyai tugas berat untuk dilaksanakan," katanya semasa menyampaikan khutbah Jumaat sempena program Perkampungan Sunnah kali kelima di Masjid Alwi di sini, kelmarin.

Program itu bertemakan 'Pembersihan Jiwa Menurut Sunnah' diadakan selama tiga hari bermula hari ini, turut disertai umat Islam dari Asia Tenggara antaranya Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei. Seramai 27 penceramah undangan akan menyampaikan ceramah dalam masa tiga hari program itu berlangsung.

Mohd Asri berkata amanah rakyat amat berat dan setiap pemimpin yang dilantik hendaklah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jujur dan amanah bersih daripada rasuah.

Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di masjid itu, kemudian menyampaikan replika cek RM20,000 sumbangan MAIPs kepada Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail bagi melaksanakan program Kelas Quran Brail kepada pengelola program, Tuan Marja Tuan Mat.

Baginda turut menyampaikan wang tunai kepada 12 orang asnaf, setiap seorang menerima RM400 dan kemudian melawat gerai-gerai pameran dan jualan di perkampungan tersebut di perkarangan masjid berkenaan.- BERNAMA