Tiada Lagi Ahli Politik Dalam Lembaga Pengarah GLC?


Kerajaan akan mengkaji semula dan mungkin mengubah pelantikan ahli politik dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Ini kerana Ketua Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin tidak mahu syarikat-syarikat GLC dan GLIC mendapat campur tangan tidak wajar daripada ahli-ahli politik mahu pun pihak luar.

“Wakil setiap dana diingatkan supaya mengasingkan pengurusan institusi secara profesional daripada sebarang campur tangan tidak wajar daripada ahli politik atau pihak luar yang lain.

Bagi dana yang mempunyai pewakilan daripada ahli politik dalam lembaga pengarahnya, Tun Daim turut menegaskan bahawa hal ini akan dikaji semula dan diubah,” kata enam ketua pegawai eksekutif GLC dan GLIC dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

Semalam  Daim telah mengadakan pertemuan dengan enam ketua pegawai eksekutif GLC dan GLIC iaitu Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji.

Menurut kenyataan tersebut, Daim juga meminta maklum balas mengenai prospek ekonomi, pasaran dan matawang ringgit selain turut memaklumkan bahawa dalam 100 hari pertama ini, Majlis Penasihat Kerajaan akan secara berkala mendapatkan bantuan GLC dan GLIC dari segi maklumat, sumber dan input dalam usaha kerajaan untuk menangani pelbagai isu yang telah dikenal pasti.

Isu-isu yang dimaksudkan antaranya, kajian semula dana dan syarikat tertentu, kajian semula terhadap projek dan kontrak dan isu jalan bertol, yang mana GLC dan GLIC memiliki kepakaran dan sumber yang khusus dan relevan.

“Kami berpendapat ini adalah langkah yang sangat positif dalam proses menetapkan semula negara dari sudut ekonomi dan pasaran.

“Ini akan membolehkan kami untuk terus memperbaiki aspek tadbir urus dan prestasi pengurusan serta institusi masing-masing,” katanya.

Sumber: MalaysiaGazette