Tiada Paksaan Untuk Mengundi BN - Asyraf Wajdi


PASIR PUTEH - Barisan Nasional (BN) menyangkal dakwaan PAS yang BN memaksa rakyat mendapat bantuan Kerajaan Pusat bersumpah untuk mengundi calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Rabu ini.

Calon BN Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tuduhan itu adalah fitnah yang tular di media sosial.

"Fitnah itu untuk menaikkan sentimen kebencian pengundi kepada calon BN dan kerajaan.

"Saya sudah melihat video yang tular itu dan mendapati ia hanya ikrar taat setia jentera BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising untuk menaikkan semangat dan menyokong kepemimpinan.

"Ia tidak membabitkan orang lain (pengundi) dan hanya jentera parti saja. Video yang tular itu tidak lengkap dan hanya sebahagian saja yang viral hingga menimbulkan persepsi negatif terhadap calon BN," katanya dalam sidang media selepas acara 'Melepaskan Konvoi Kereta Jentera Pemuda BN Pasir Puteh' di Dewan Uthmaniyah, Pulau Lima, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai video janji ikrar BN DUN Selising berdurasi seminit tujuh saat yang viral sejak semalam.

Turut hadir, calon DUN Semerak, Datuk Zawawi Othman dan calon DUN Limbongan, Mohd Hanafiah Abdul Aziz.

Asyraf Wajdi berkata, tidak wujud paksaan kepada pengundi dan rakyat bebas untuk mengundi calon pilihan mereka pada pilihan raya ini.

"Tuduhan dibuat pembangkang (PAS) tanpa bukti kukuh yang dibuat menjelang PRU pada Rabu ini. Seperti PRU lalu, pembangkang menuduh kita membawa masuk 40,000 warga asing ke negara ini untuk mengundi BN.

"Mereka (PAS) seperti menuduh diri sendiri yang bermain dengan ayat al-Quran termasuk dalam sumpah baiah (talak tiga isteri) yang dikeluarkan kepada bakal calon mereka," katanya.

Sumber: BH Online