TIDUR pada waktu siang ketika berpuasa memang menyeronokkan, tidak rasa seketika lapar dan dahaga.
Bagaimanapun, jika selalu mengamalkan tidur siang ia boleh membawa kesan buruk ke atas kesihatan termasuk risiko pertambahan berat badan.
Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital KPJ Tawakkal, Dr Johan Nizam Bahari, berkata ketika berpuasa, proses pembakaran lemak dan tenaga menurun secara semula jadi kerana tubuh cuba menyesuaikan diri dengan keadaan yang kurang makan.
"Sekiranya kita banyak tidur terutama siang, kadar pembakaran akan terus menurun menyebabkan lebihan tenaga disimpan seterusnya menjadikan berat badan meningkat.
"Pada awal berpuasa, memang kita rasa berat badan menurun tetapi sebaliknya akan berlaku apabila terlalu banyak tidur," katanya.
Ketika tidur, badan memasuki fasa hibernasi yang mana kebanyakan fungsi tubuh menurun daripada normal termasuk degupan jantung lebih perlahan, nadi dan tekanan darah lebih rendah.
Sindrom metabolik
Tidur melebihi tiga hingga empat jam, boleh menyebabkan tubuh memasuki fasa darurat yang boleh menghancurkan otot dan mengecut berikutan ia cuba menyimpan banyak lemak untuk bertahan.
Dr Johan Nizam berkata, kesan lebih serius akibat banyak tidur ialah badan mengalami kurang keupayaan untuk mencerna gula yang dikenali sebagai sindrom metabolik.
"Sindrom ini menyebabkan lemak meningkat dan berisiko mengalami pra diabetik, iaitu amaran kepada penyakit diabetes atau kencing manis.
"Ia berlaku apabila tahap gula dalam darah tinggi daripada biasa tetapi belum cukup untuk di ambil kira sebagai diabetes," katanya.
Justeru, beliau menyarankan melakukan riadah mengikut keupayaan diri sepanjang Ramadan bagi mengekalkan kadar metabolisma tubuh.
Aktiviti ringan seperti mengemas rumah juga sudah memadai untuk kekal cergas selain memastikan tidur cukup selama lapan jam di sebelah malam.
Rehat badan
Bagi memastikan jumlah tidur mencukupi, anda digalakkan tidur awal antara jam 9 sehingga 10 malam atau selepas berterawih.
Bagaimanapun, jika tidak cukup tidur malam, boleh tidur di sebelah siang mengikut jumlah yang tertinggal.
"Tidur yang lena dalam tempoh sekurang-kurangnya satu jam pada waktu petang kerana tidak cukup tidur di sebelah malam, sudah mencukupi untuk merehatkan badan.
"Semuanya terpulang pada diri sendiri tetapi apa yang penting tidak keterlaluan sehingga tidur seharian," katanya.
INFO:
Tip cergas ketika berpuasa:
-makan makanan ringan semasa berbuka.
-makan dalam kuantiti sedikit.
-lakukan solat terawih.
-jangan ikut nafsu tidur.
-semasa sahur, banyakkan minum air kosong
Kesan lain akibat banyak tidur ketika berpuasa:
-badan mudah penat
-sakit kepala
-sengal badan
Keperluan tidur kanak-kanak ketika berpuasa:
-lebih daripada orang dewasa.
-tidur beberapa jam selepas pulang daripada sekolah.
-beriadah di sebelah petang.
-tidur awal.
Sumber: BH Online