Tolak Kontroversi, Izreen Maafkan ‘Makcik Bawang’


BERBULAN menanggung caci maki, pelakon Izreen Azminda dengan terbuka hati telah mengosongkan jiwanya dan memaafkan semua netizen yang telah menghinanya berkaitan isu rumah tangga bersama suami, Ude Wahid.

Sekitar enam bulan lalu, Izreen mula berdepan dengan kecaman yang paling mencabar dalam dirinya sepanjang bergelar selebriti dan disebabkan insiden itu, ibu kepada seorang cahaya mata tersebut  menjadi lebih tabah.

“Kesannya cukup dalam, walaupun kontroversi bukan cerita baharu dalam hidup saya. Inilah kontroversi yang paling buruk pernah dilalui, saya puas menangis berbulan-bulan.

“Bagaimanapun, saya ikut nasihat ibu. Saya memaafkan mereka yang mencaci maki tanpa tahu keadaan sebenar walaupun hati saya benar-benar terguris,” katanya dipetik daripada portal BH Online.

Segala kecaman dan kritikan yang diterima itu telah membuatkan dia lebih menajdi seorang pemaaf selepas dinasihati oleh ibu tercinta.

Malah, dia turut memaafkan semua orang walaupun hakikatnya hanya dia sahaja yan tahu penderitaan yang dialami sehingga membuatkan  hatinya terguris setelah banyak kata-kata kesat dilemparkan kepadanya dan suami.

Baru-baru ini, Izreen telah dilantik sebagai duta produk Magika Argan Cleansing Flakes dan tawaran yang diberikan itu membuatkan pelakon drama Pergilah Air Mata itu berasa bersyukur walaupun ada beberapa pihak yang sering mengganggu periuk nasinya.

“Saya bertanya banyak kali kepada pengasasnya, Azura Baharudin. Ini kerana saya tidak mahu kontroversi memberi kesan kepada perniagaan mereka.

“Namun, syarikat terbabit menekankan kontroversi sudah pun berlalu, hidup perlu diteruskan. Saya tidak pernah menganggap mereka mengambil kesempatan ke atas kontroversi saya untuk melariskan produk,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, bagi Izreen sendiri, apa juga kontroversi yang melanda, seandainya produk yang ditawarkan itu bagus, pasti pengguna akan mempercayainya.

Dalam masa yang sama, dia turut memohon agar kontroversi antara dirinya dan suami tidak lagi disebut selepas ini. –Kedahnews.com