Tubuh Jawatankuasa Baru Pantau Aktiviti Khurafat


JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan menubuhkan Jawatankuasa Pengawalan Pusat Rawatan Islam dan Perubatan Tradisional & Komplementari bagi membendung amalan sihir, saka dan ilmu perubatan meragukan.

Jurucakapnya berkata, jawatankuasa yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat itu bertujuan membasmi semua perbuatan syirik termasuk memantau aktiviti dukun dan bomoh.

Katanya, perkara itu diluluskan Mesyuarat Bertindak Hal Ehwal Agama Islam negeri bulan Mac lalu dan akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas kerajaan baharu ditubuhkan.

“Kami mengesyorkan semua premis yang menawarkan rawatan berkenaan mendapatkan pengesahan JHEAINS selain pengamalnya perlu memiliki sijil patuh syariah supaya pemantauan boleh dilakukan,” katanya.

Katanya, garis panduan menurut perubatan Islam akan disediakan untuk rujukan pengamal dan orang ramai.

“JHEAINS akan memeriksa dan menggempur pusat rawatan yang meragukan dan kita juga akan memantau ilmu persilatan,” katanya.

Sementara itu mufti negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad memuji penubuhan jawatankuasa berikutan perbuatan syirik dan saka bertentangan ajaran Islam.

“Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan suatu ketika dulu pernah membincangkan perkara ini. Jika dilaksanakan, pegawai terbabit perlu membuktikan kesalahan dilakukan berhubung perbuatan sihir dan saka,” katanya.

Akhbar pada 27 April lalu melaporkan seorang lelaki maut akibat dibelasah sekumpulan pengamal perubatan tradisional yang kononnya memberi rawatan membuang saka daripada badan mangsa.

Kematian mangsa dilaporkan kepada polis oleh pegawai perubatan yang merawatnya selepas menemui kesan kecederaan serius pada badannya.

Mangsa berusia 35 tahun mengalami gangguan makhluk halus sejak setahun lalu dan beberapa kali menjalani rawatan tradisional dengan ramai pengamal perubatan alternatif.

Tindakannya berubat dengan tiga lelaki dan dua wanita yang mengaku pengamal perubatan tradisional selama tiga hari bertukar tragedi apabila mangsa dipukul menyebabkan dadanya pecah.

Pengamal perubatan itu menuntut mangsa ditumbuk, ditendang dan dipijak pada badan yang dikatakan sebagai kaedah membuang saka. 

Sumber: Metro Online