Tunjukkan Anggota Polis Makan Coklat - Amar Singh


KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh meminta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemukakan bukti selain mengenalpasti anggota polis yang didakwa memakan coklat dan meminta makanan disediakan ketika pemeriksaan di kediamannya pada 16 dan 17 Mei lalu.

Amar Singh berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi dengan kelakuan tidak profesional anggota yang terbabit.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas anggota yang terbabit melanggar prosedur dan arahan yang sudah diberikan sekiranya dakwaan berkenaan didapati benar.

"Merujuk kepada dakwaan penularan gambar ketika pemeriksaan di media sosial, tiada pegawai dan anggota yang dibenarkan untuk membawa telefon bimbit kecuali komander dan timbalan komander lapangan.

"Gambar dan video di lokasi hanya dirakam oleh jurugambar rasmi polis, sekiranya pihak berkenaan dapat tampil dengan bukti gambar yang tular, siasatan akan dijalankan bagi mengesan punca penyebaran gambar berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Amar Singh berkata pihaknya menjalankan serbuan di enam buah premis bagi membantu siasatan berkaitan kes 1MDB.

Katanya, enam pegawai polis kanan dilantik sebagai komander lapangan untuk menyelia keseluruhan operasi.

"Mereka juga diberi tanggungjawab untuk memastikan anggota di bawah seliaan mereka bertindak secara profesional dan menghormati penghuni kediaman iaitu bekas Perdana Menteri dan ahli keluarganya," katanya.

Sebelum ini, peguam kepada Najib, Datuk Harpal Singh Grewal menerusi kenyataan mendakwa ada anggota polis yang mengambil coklat daripada peti sejuk selain meminta makanan disediakan kepada mereka ketika pemeriksaan dijalankan.

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor melalui firma guaman Valen, Oh And Partners mendakwa ada butiran ketika operasi yang tersebar di media sosial.

Sumber: BH Online