UMNO Perlu Akur Kegagalan Baca Suara Rakyat


KUALA LUMPUR - UMNO diminta mengukuhkan barisan kepemimpinan parti dan akur kepada kesilapan mereka yang gagal membaca suara rakyat sehingga kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata parti yang pernah memerintah selama 61 tahun itu turut disyorkan supaya menghapuskan dasar pentadbiran yang tidak menguntungkan rakyat.

Katanya, UMNO perlu menjadi pembangkang yang disegani dan berhujah dengan ilmu bukannya retorik di Parlimen.

"Isunya bukan (pemimpin) calon muda atau dewasa tetapi sejauhmanakah UMNO dapat mengikat keyakinan rakyat dengan integriti yang ditunjukkan dan dapat merasai denyut kesusahan rakyat dengan pancaran sikap, pemikiran, idea, serta pendirian tegas terhadap isu nasional.

"UMNO dan Barisan Nasional (BN ) perlu menyingkirkan kepimpinan tertinggi yang dilihat tidak popular dan tidak disukai rakyat.

"Apabila UMNO, BN diterajui golongan yang tidak terpalit isu yang mudah diakses di media sosial, sebahagian besar masalah parti itu selesai," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan banyak pihak yang meluahkan kerisauan terhadap masa depan parti itu, termasuk cadangan UMNO Melaka untuk kekalkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden kepada pemimpin sedia ada tanpa bertanding.

Sementara itu, mengulas dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menolak cadangan mengekalkan jawatan tertinggi UMNO tanpa bertanding, Awang Azman, berkata landskap politik negara sudah berubah.

Katanya, kenyataan KJ (Khairy) kerana mahu perubahan dalam UMNO dengan mengadakan pertandingan jawatan tertinggi parti.

"Apakah kepimpinan tertinggi yang ada selepas Najib (Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak) berundur juga tidak mampu membuat perubahan dalam UMNO?

"Mungkin ada (kepemimpinan) yang melihat KJ cuba bertanding dalam jawatan (Presiden) dengan mengambil peluang situasi politik semasa UMNO, yang keseluruhan kepimpinan UMNO termasuk pemuda dan bahagian, kurang diyakini rakyat," katanya.

Khairy ketika bercakap kepada pemberita di Menara Dato Onn, hari ini, dilaporkan berkata cadangan mengarut yang memberi mesej salah mengenai hala tuju UMNO selepas PRU-14 itu antara punca BN tewas kepada Pakatan Harapan.

"Saya rasa usul tidak pertandingkan jawatan ini antara sebab mengapa rakyat hilang kepercayaan pada kita, seolah olah kita tak buka ruang demokrasi kepada ahli, jadi baik hentikan perkara mengarut ini," katanya.

Sumber: BH Online