Video: Kakitangan Sekolah Campak Gambar Najib Dikecam


RAKAMAN video menunjukkan potret bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diturunkan sebelum dilempar di atas lantas dalam kejadian di sebuah sekolah menjadi tular di media sosial.

Insiden tidak bertanggungjawab itu dipercayai berlaku di dalam dewan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Melaka berdasarkan lambang sekolah yang tertera di dewan bangunan.

Menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu, seorang lelaki dipercayai kakitangan sekolah dilihat memanjat tangga untuk menurunkan gambar Najib sebelum menyerahkan kepada seorang lagi kakitangan di bawah.

Namun, kakitangan itu kemudian seakan sengaja melemparkan gambar tersebut diatas lantai, membuatkan dewan berkenaan gema dengan sorakan para pelajar.

Di ruangan komen video berkenaan, netizen rata-ratanya tidak bersetuju dengan sikap pihak sekolah yang seakan-akan cuba ‘mendidik’ para pelajar untuk bersikap dendam, biadab dan meraikan kekalahan seseorang.

“Inilah yang dinamakan cikgu kurang ajar. Sanggup mendidik bangsa sendiri supaya menjadi manusia kurang ajar. Inikah yang dinamakan sebagai guru?” tanya Hairudin Ruffie.

Lily M Salleh pula berharap agar Kementerian Pendidikan di bawah Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad agar menyiasat kejadian tersebut yang merupakan bukan budaya Malaysia, apatah lagi untuk pelajar sekolah.

“Tak kira dia PM ke, menteri ke, atau mungkin kita (sendiri). Ibu bapa rasa tak bagus guru-guru tunjuk budaya macam ni. 

“Hormat menghormati tu bukan budaya Melayu je. Cina, India dan kaum-kaum lain juga. Ibu bapa risau anak-anak jadi kurang ajar. Fikir-fikirkanlah,” katanya.

Untuk rekod, Najib sepanjang pentadbirannya telah memansuhkan yuran persekolahan dan peperiksaan, memperkenalkan skim buku teks percuma dan pemberian wang tunai RM100 untuk setiap murid.

Beliau juga melaksanakan rancangan makanan tambahan untuk pelajar miskin, menambah banyak sekolah baharu di kawasan ramai penduduk dan menaikkan gaji guru dengan pelbagai insentif. –Kedahnews.com