Wan Azizah Tuduh PAS Jadi Punca BN Menang Tanpa Bertanding Di DUN Rantau


SEREMBAN – Selepas tidak berpuas hati dengan kemenangan tanpa bertanding Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, pada hari penamaan calon 28 April lepas, PKR kini mempersoalkan pula tindakan PAS yang tidak meletakkan calonnya di kawasan itu.

Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dalam lawatannya ke Negeri Sembilan hari ini berkata kegagalan PAS meletakkan calonnya di kerusi DUN Rantau menimbulkan tanda tanya sedangkan parti itu turut menempatkan calon di kawasan lain.

“(Mulanya) saya ingat calon PAS tarik diri… tetapi kenapa PAS tak letak calon sebab semua yang UMNO bertanding dia (PAS) letak calon.

“Kenapa di Rantau tak letak calon. Haa itu jadi tanda tanya. Itu saja. Jangan kata saya ini macam-macam…tanya saja (dan) tanya pun tak boleh ke?” katanya dalam ucapan di majlis ceramah umum Pakatan Harapan di Kampung LBJ, dekat sini.

Mohamad memperoleh kemenangan ekoran calon PKR, Dr. S. Streram, tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa pas calon seperti yang disyaratkan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon.

Selain Dr. Streram, kedua-dua penyokong dan pencadangnya juga tidak dapat memasuki perkarangan dewan itu kerana tidak mempunyai pas perakuan daripada SPR. – Bernama