Wanita Itu Warganegara Malaysia Lah!


JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menyelar tindakan individu tertentu yang menyebarkan gambar Mykad wanita warga China yang mendapat kerakyatan dan memegang kad pengenalan biru di Facebook (FB).

Difahamkan, wanita berkenaan yang berkahwin dengan lelaki warga Malaysia dan mendapat Mykad biru melalui prosedur betul mengikut Perkara 15 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Jurucakap JPN berkata, tindakan menyebarkan maklumat atau dokumen peribadi individu lain kepada pihak ketiga adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

“JPN memperjelaskan dakwaan bahawa individu warga China mempunyai kad pengenalan Malaysia (MyKad), seperti yang hangat diperkatakan di laman sosial.

“Individu yang dimaksudkan mendapat MyKad secara teratur selepas memperoleh kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai isteri warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular di Facebook memaparkan Mykad seorang wanita berserta pasport kewarganegaraan China milik wanita berkenaan dengan keterangan gambar: ‘Orang dari negara China ada IC BIRU! Apa komen anda?’

Justeru, JPN meminta orang ramai untuk tidak mendedahkan dokumen peribadi mana-mana individu di mana-mana platform, terutama media sosial.

Mengikut Perkara 15 (1) Perlembagaan Persekutuan, permohonan boleh dibuat oleh mana-mana wanita yang berkahwin dengan warganegara selain kriteria lain seperti perkahwinannya masih berterusan, bermastautin di Persekutuan sepanjang tempoh dua tahun sebelum tarikh permohonan itu dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap, berkelakuan baik serta perkahwinannya didaftarkan mengikut mana-mana undang- undang bertulis yang berkuatkuasa di Persekutuan.

Di bawah PDPA adalah menjadi satu kesalahan bagi pengguna data mendedahkan data peribadi kepada pihak ketiga tanpa persetujuan pemilik data.

Penalti kerana melanggar PDPA adalah denda maksimum sehingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: MyMetro