'Wanita Saya Peluk Itu Ibu, Kakak Dan Adik Saya...'


PASIR PUTEH - "Wanita yang saya peluk di hari penamaan calon ialah ibu, kakak dan adik saya," kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajd berkata demikian sebagai mengulas video berdurasi seminit 14 saat yang tular di Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp sejak semalam yang mendakwa beliau kononnya memeluk beberapa penyokong wanita di hari penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.

"Video yang mendakwa saya tidak tahu dosa atau pahala kerana memeluk wanita itu hanya fitnah pihak tidak bertanggungjawab ketika Pilihan Raya Umum (PRU)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Video berkenaan menimbulkan salah faham dan mendapat komen negatif daripada netizen yang menganggap tidak wajar seorang berpendidikan agama memeluk bukan mahram.

Mengulas lanjut Asyraf Wajdi berkata, pada hari penamaan calon, beliau memeluk ibu, Datuk Nik Noraini Nik Yahya, 72, kakak dan juga adik.

"Penyebaran (video) dibuat pembangkang yang mempermainkan sentimen kebencian rakyat kepada BN.

"Mereka (pembangkang) beria-ria menolak Akta Antiberita Tidak Benar 2018 kerana mahu menjadikan fitnah sebagai alat dalam kempen pilihan raya. Sebaliknya, BN membawa agenda demi kesejahteraan rakyat.

"Saya tidak tergugat dengan penyebaran fitnah itu dan akan terus fokus untuk membantu rakyat kerana Allah SWT," katanya selepas merasmikan Jeti Awang Chen di Semerak, di sini, hari ini.

Turut hadir, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, Datuk Zawawi Othman.

Sumber: BH Online