BAGAN DATUK - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk buat penggal keenam.
Timbalan Perdana Menteri itu menang dengan majoriti 5,073 undi selepas mendapat 18,909 undi menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PKR) yang memperoleh 13,836 undi dan calon PAS, Ata Abdul Muneim Hasan Adli (4,061 undi).
Barisan Nasional (BN) turut mengekalkan kemenangan di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup dan Hutan Melintang di bawah Parlimen Bagan Datuk.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, calon BN bagi kerusi Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya, menang dengan majoriti 3,069 undi menewaskan Hatim Musa dari PKR yang mendapat 3,460 undi dan Mohd Mohkheri Jalil (PAS) yang meraih 2,430 undi.
Turut berkongsi kemenangan, calon muka baharu DUN Hutan Melintang yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bagan Datuk, Datuk Khairuddin Tarmizi selepas memperoleh majoriti 741 undi.
Khairuddin memperoleh 10,961 undi manakala pencabarnya calon PKR, G Manivannan memperoleh 10,220 undi dan Mohd Misbahul Munir Masduki (PAS) mendapat 3,150 undi.
Keputusan itu diumumkan secara rasmi pada jam 11.45 malam ini oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya P075 Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, di sini. - BERNAMA