ADAM50, Menara PNB 118 Akan Diteruskan


KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjelaskan bahawa, Program Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) dan projek pembinaan Menara PNB 118 bakal diteruskan mengikut perancangan asal.

Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata kedua-dua inisiatif itu akan dilaksanakan seperti dirancang mengikut tempoh inisiatif dan pembinaan yang ditetapkan.

"(ADAM50) ini sememangnya diadakan untuk bayi yang lahir pada 1 Januari 2018 hingga lima tahun kehadapan dan program ini kita teruskan (seperti dirancang)," katanya kepada wartawan selepas majlis berbuka puasa PNB bersama media, di sini, malam tadi.

ADAM50 adalah program yang diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama PNB untuk semua bayi warganegara Malaysia yang lahir dalam tempoh dari 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Objektif utama ADAM50 adalah untuk menggalakkan budaya menyimpan dan pelaburan oleh rakyat Malaysia daripada usia seawal baru lahir, melalui pemberian unit insentif percuma sebagai modal pelaburan permulaan.

Unit insentif percuma itu akan dikreditkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) bagi bayi bukan Bumiputera selepas proses pendaftaran dibuat di Cawangan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan Ejen ASNB.

Berkenaan pembangunan projek Menara Warisan Merdeka pula, Abdul Wahid berkata, pembinaannya mengikut jadual dan setakat ini, 18 dari 118 tingkat menara itu sudah siap dibina.

Menara Warisan Merdeka atau juga dikenali dengan nama KL118 yang berketinggian kira-kira 630 meter adalah inisiatif PNB untuk merangsang ekonomi negara yang dijangka siap sepenuhnya pada 2024 dan bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.- BERNAMA