Gaji Minimum Sektor Swasta Dijangka Umum Ogos


PUTRAJAYA - Kadar gaji minimum baharu sektor swasta sedang dalam semakan, dan kerajaan dijangka mengumumkannya selewat-lewatnya Ogos ini jika mendapat kelulusan dan persetujuan Kabinet.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dijadual mengadakan mesyuarat pada 13 Jun ini, bagi meneliti Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016 termasuk mempertimbang syor kadar gaji minimum baharu dan beberapa perkara lain yang berkaitan.

"Seterusnya, Kementerian Sumber Manusia akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri untuk keputusan dibuat oleh kerajaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan bersama warga Kementerian Sumber Manusia di sini, hari ini.

Katanya, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) selesai melaksanakan proses Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016 sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

"Saya dimaklumkan JTPGN bersedia untuk membentangkan syor kadar gaji minimum baharu kepada MPGN iaitu badan tripartite yang berperanan untuk membincangkan dan membawa syor kadar gaji minimum kepada Jemaah Menteri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan bersedia mempertimbang cadangan untuk memberi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 1.2 juta golongan suri rumah di negara ini, bagaimanapun mekanisme pelaksanaannya akan diteliti sama ada bersesuaian atau tidak di negara ini.

Katanya, United Kingdom adalah negara yang mempraktikkan liputan keselamatan sosial kepada rakyat yang tidak bekerja di negara mereka.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Sumber Manusia akan memberi tumpuan untuk menyelesaikan kes tertunggak di Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Mahkamah Perusahaan.

"Kita juga akan menambah baik liputan keselamatan sosial kepada suri rumah dan pasangan; mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat mengenai hak mereka sebagai pekerja di bawah undang-undang buruh.

"Saya juga sudah mengarahkan pasukan penguatkuasaan bagi semua agensi dalam kementerian ini untuk selalu mengadakan pemeriksaan di premis pekerjaan bagi memastikan undang-undang perburuhan dipatuhi," katanya.

Sumber:BH Online