Jiwa Al-Quran Biar Sebati Setiap Muslim


Hari Nuzul al-Quran yang diisytihar sebagai cuti umum di sesetengah negeri, tidak sempurna jika hanya diingati dengan aktiviti ceramah dan jamuan seperti biasa.

Mungkin juga ada sesetengah umat Islam yang tidak mengambil endah signifikan peristiwa berkenaan, sebaliknya sibuk membeli-belah menjelang hari raya.

Hari Nuzul al-Quran sepatutnya diperluaskan dengan penghayatan secara menyeluruh terhadap isi kandungan al-Quran sehingga menepati kehendak Rukun Iman yang ditetapkan.

Perlu juga diingat, ada golongan yang membaca al-Quran, tetapi diancam dengan laknat Allah SWT seperti riwayat yang menyebut: "Banyak yang membaca al-Quran sedangkan al-Quran melaknatnya".

Semua ini kerana gagal mempraktikkan ajaran al-Quran, mempersoalkan hakam al-Quran atau menghalalkan apa yang diharamkan dalam konteks lebih spesifik.

Sempena Hari Nuzul al-Quran pada tanggal 17 Ramadan setiap tahun, umat Islam diajak untuk benar-benar menghayati isi kandungan kitab suci dalam kehidupan seharian.

Al-Quran adalah kalamullah yang mengandungi mukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril, ditulis dalam mashaf, dipindahkan secara mutawatir dan membacanya dinilai sebagai ibadat.

Al-Hafiz Ibnu Kathir menyebut, ia diturunkan oleh Allah SWT secara keseluruhannya pada malam al-Qadr dari Luh Mahfuz ke Baittul Izzah, yakni langit dunia kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Baginda Nabi SAW selama 23 tahun.

Dalam tempoh itu, ayat suci diturunkan dengan pelbagai cara, antaranya melalui mimpi seperti mimpi Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya Nabi Ismail AS, menerusi suara seperti Allah SWT berkomunikasi dengan Nabi Musa AS.

Selain itu, ia datang berserta bunyi loceng yang dianggap kae- dah penurunan wahyu paling berat sehingga Nabi SAW kepanasan walaupun ketika itu cuaca sejuk dan terakhir, melalui pertemuan secara fizikal antara Nabi SAW dengan Jibril dalam rupa manusia.

Pemberi syafaat

Lebih daripada itu jika diteliti, al-Quran dan Ramadan mempunyai kaitan yang sangat signifikan. Kepentingannya dilihat kepada susunan ayat 185 Surah al-Baqarah yang menyebut Ramadan, kemudian penurunan al-Quran.

Dalam hadis turut disebutkan mengenai al-Quran dan Ramadan sebagai pemberi syafaat.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata, 'Hai Tuhanku, aku menegahnya daripada makan dan syahwat pada siang hari. Maka berilah syafaatku padanya'. Al-Quran pula berkata, 'Tuhanku, aku tegahkannya daripada tidur malam, maka berilah syafaat kepadaku untuk kuberikan padanya'. Kemudian al-Quran dan Ramadan dikurniakan kelebihan untuk memberi syafaat". (Riwayat Ahmad)

Justeru, umat Islam diajak untuk memperbanyak membaca al-Quran, terutama ketika Ramadan agar beroleh ganjaran yang dijanjikan.

Usah tunggu berstatus mahir atau mencari waktu lapang baru hendak membaca, sedangkan seseorang yang merangkak dan bersusah payah membaca al-Quran, diberikan dua pahala berdasarkan hadis Nabi SAW.

Selain itu, bagi yang tidak pandai membaca, dinasihatkan supaya mempelajari kaedah membaca dengan betul melalui guru mengaji atau di pusat pengajian yang bertauliah sempena Ramadan.

Usaha malu belajar

Usah malu jika terpaksa belajar dengan anak kecil kerana dalam soal agama, tidak sepatutnya timbul perasaan malu. Boleh juga dijemput guru ke rumah sehingga seluruh anggota keluarga mendapat manfaat.

Malah, jika tidak mampu membaca, boleh sahaja seseorang mendengar di radio atau rakaman ketika menaiki kenderaan.

Lebih daripada itu, umat Islam diajak untuk mengamalkan 3M terhadap al-Quran. Pertama, 'memiliki' naskhah al-Quran dan memuliakannya sebagai Kalam Allah SWT.

Jika dibuat kajian, kemungkinan tidak ditemui walau senaskhah pun dalam rumah segelintir orang Islam di Malaysia, sedangkan pelbagai majalah, buku masakan, novel dan bahan bacaan yang bernilai puluhan ringgit mampu dibeli.

Lebih menyedihkan apabila ada segelintir yang menjadikan ayat suci sebagai tangkal dan azimat, tetapi tidak solat dan tidak berpuasa pada Ramadan, sekali gus tentu sahaja jauh menyimpang daripada tujuan sebenar penurunan al-Quran.

Kedua, 'mengkhatam' keseluruhan 30 juzuk al-Quran yang mengandungi 323,671 huruf, 77,437 kalimah, 6236 ayat, 114 surah, 60 hizib dan 240 maqra'.

Oleh itu, amalan mengadakan majlis khatam al-Quran ketika majlis pernikahan dengan hanya membaca beberapa surah pilihan sahaja adalah tidak tepat dengan maksud khatam al-Quran.

Jika ingin juga mengadakannya untuk mengambil keberkatan, eloklah dinamakan majlis membaca surah pilihan oleh pengantin sahaja.

Dalam pada itu, program khatam al-Quran yang banyak dianjurkan pada penghujung Ramadan juga sesuatu yang molek untuk diteruskan dari semasa ke semasa, usahlah ia menjadi adat kebiasaan pada Ramadan sahaja, sebaliknya secara berjadual dan tersusun sepanjang tahun.

Selain itu, institusi dan jabatan tertentu elok juga mengadakan aktiviti tadarus pada hari tertentu sambil dihayati pengajarannya melalui sesi ceramah atau tazkirah ringkas.

'M' ketiga ialah 'menghayati' segenap ajaran, sekali gus membudayakan dalam kehidupan. Malah ada juga yang mengutarakan slogan memasyarakatkan al-Quran yang secara umum mengajak untuk mempraktikkan pengajaran dan pedomannya.

Hayati Nuzul al-Quran

Apalah erti jika seseorang hanya mahir membaca al-Quran, tetapi akidah, syariat dan akhlak tidak selari dengan kandungan kitab Allah.

Lebih buruk lagi apabila ada sesetengah pihak yang mencemarkan kemuliaan kitab suci dengan mempersoalkan hukum hakamnya.

Laungan imasipasi wanita yang menuntut persamaan pembahagian faraid dengan lelaki misalnya, bercanggah dengan ayat Allah SWT yang jelas memperuntukkan pembahagian harta pusaka dengan perbezaan jantina.

Jika diteliti, ia mempunyai hikmah tersendiri dalam konteks keadilan pembahagian harta yang tidak difahami.

Malah, penghayatan yang hakiki dapat direalisasikan dengan sentiasa merujuk kepada sumber wahyu seperti firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya". (al-Nisa: 59).

Penulis ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Pasir Gudang

Sumber: BH Online