KULIM – Anggota Parlimen Padang Serai M. Karupaiya akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menimbus lubang-lubang di sekitar kawasan yang terjejas akibat banjir lumpur di Kampung Baru Sungai Kob pada 29 Mei lepas.
Beliau berkata selepas banjir, terdapat beberapa lubang hasil mendapan akibat aliran sungai yang kuat dan hujan lebat yang mana rata-rata saiz lubang itu agak besar dan dalam.
“Jadi, kita amat bimbang dengan keselamatan penduduk kampung terutama mereka yang tinggal berdekatan lubang ini, untuk itu, saya akan berjumpa dengan pihak JKR hari ini untuk mereka datang membantu dengan membawa tanah bagi menimbus lubang-lubang mendapan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Katanya, setakat ini lebih daripada 50 sukarelawan telah tampil membantu penduduk dalam kerja-kerja membersihkan rumah dan berharap kerja-kerja pembersihan itu dapat diselesaikan dalam kadar segera sebelum sambutan Aidilfitri.
“Kita faham sambutan Hari Raya semakin dekat…kita tidak mahu penduduk berterusan berada dalam keadaan tidak selesa setiap kali waktu berbuka puasa dan bersahur,” katanya.
Beliau juga berharap mereka yang ingin memberi bantuan agar tampil segera memandangkan mangsa amat memerlukan barangan keperluan asas seperti pakaian, tilam, bantal, tikar, lampin pakai buang untuk bayi dan orang tua berbanding bantuan makanan.
“Kita terima banyak bantuan berbentuk makanan yang sudah dimasak atau belum tetapi sangat kurang bagi baju, seluar, kain pelekat atau batik, pakaian dalam, pakaian kanak-kanak dan seumpamanya,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pembinaan rumah baharu bagi keluarga mangsa korban arus deras, Karupaiya akan berbincang dengan balu mangsa, Che Yang Ton bagi mencari tempat yang sesuai untuk mendirikan rumah tersebut.
“Kita tahu yang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah menyuarakan mengenai pembinaan rumah baharu ini dan kita akan lihat cara pelaksanaan yang terbaik dengan turut berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir jika terdapat peruntukan khas yang boleh digunakan bagi membantu keluarga mangsa,” katanya.
Dalam tragedi 29 Mei itu, dua beranak, Johari Bakar, 57, dan anak perempuan bongsunya, Nur Suri Dalina, 14, maut selepas lemas dibawa arus kuat ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumah mereka dimasuki air akibat banjir. – BERNAMA