Kerajaan Negeri PH Tolak Cadangan Pas Jadi Speaker DUN Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan Pas untuk mencalonkan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi sebagai bakal Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bersidang pada awal Julai depan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Dr. Ismail Salleh berkata, kenyataan pemimpin Pas yang membayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlaku di Kedah menyerlahkan sikap sebenar parti itu yang tidak memahami mesej rakyat dan tamak kerana inginkan kuasa dengan cara tidak betul.

“Pilihan Raya Umum yang lalu memberikan kemenangan 18 kerusi PH, 15 (Pas) dan tiga (UMNO). Ekoran keputusan itu, Pas menampakkan sifat sebenar mereka iaitu gila kuasa untuk juga memerintah Kedah dengan mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan di Kedah tetapi malangnya ditolak oleh PH Kedah.

“Setelah cadangan mereka ditolak Pas masih tidak berputus asa, menzahirkan sifat tamak halobanya dengan meminta pula jawatan Speaker DUN. Mereka juga menamakan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Fakhrudin Fakhrurazi sebagai bakal Speaker,” katanya di sini semalam.

Akhbar melaporkan, Pas menjangkakan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang belum selesai sehingga kini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi sekarang kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan pembangkang masih lagi dalam keadaan ternanti-nanti.

Tambah Dr. Ismail, ekoran daripada itulah Pas dengan nada ugutan akan berlakunya PRN apabila pemilihan Speaker nanti diramalkan mereka akan berakhir dengan undian 18/18.

“PH sudah tentu ada 18 undi dan Pas ada 15 undi. Mereka mengharapkan tiga undi dari UMNO untuk mengcukupkan 18 undi. Di kala UMNO berada dalam keadaan nazak dengan tiga kerusi DUN dan Kerajaan Pusat adalah kerajaan PH kemungkinan UMNO menyokong Pas adalah terlalu kecil.

Lalu peluang undian 18/18 hampir mustahil,” katanya.

Tambahnya, Pas seharusnya menghormati kehendak rakyat yang membuat keputusan.

Sumber: UTUSAN ONLINE