Lelaki Nekad Langgar Motosikal Peragut Di Sungai Petani


SUNGAI PETANI - Tindakan berani seorang lelaki berusia 39 tahun merempuh motosikal ditunggang dua lelaki geng ragut membantu polis menahan salah seorang dari suspek.

Kejadian berlaku jam lebih kurang 10 malam Sabtu lalu di Jalan Petri Pekan Lama apabila dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 meragut beg milik dua wanita berusia 23 dan 63 tahun dari belakang sehingga berlaku tarik menarik antara suspek dan mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superitenden Sazalee Adam, berkata mangsa yang terkejut bertindak menjerit minta tolong, dan jeritannya didengar peniaga, Yoeh Liang Thong yang bergegas membantu kedua mangsa.

Katanya, sebaik tiba, dua lelaki itu cuba melarikan diri dan Liang Thong bertindak merempuh motosikal yang ditunggang mereka biar pun ketika itu suspek mengacu pisau kearahnya.

"Akibat rempuhan itu motosikal suspek terbalik, salah seorang suspek berjaya ditahan orang ramai yang berada di kawasan berhampiran manakala rakannya berjaya melepaskan diri, suspek kemudian diserah kepada anggota polis yang tiba.

"Mangsa berusia 23 tahun cedera dan terpaksa menerima empat jahitan di tangan kanan akibat ditoreh dengan pisau oleh suspek, manakala mangsa berusia 63 yang juga peniaga cedera ditangan dan kaki kiri. Semua yang cedera mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim ( HSAH).


"Polis menemui sebilah pisau milik suspek di tempat kejadian, selain merampas motosikal yang diguna suspek. Hasil semakan polis mendapati motosikal terbabit dilapor hilang di Padang Serai, Kulim.

Kedua-dua suspek juga mempunyai empat rekod jenayah kes curi motosikal," katanya.

Pada masa sama Sazalee juga meminta orang ramai agar lebih berhati-hati ketika musim perayaan ini terutama ketika membawa barangan berharga atau mengeluarkan wang dibank.

"Bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin, polis Kuala Muda mengadakan Ops Payung dengan menempatkan anggota polis di kawasan strategik dan menjadi tumpuan orang ramai pada musim perayaan ini" katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda semalam.

Hadir sama Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (KBJSJ) Kuala Muda, Deputi Superitenden Mohd Azlan Abdul Kadir.

Sumber: BH Online