Masa Depan 900 Kakitangan ATRA Belum Diputuskan


KUALA TERENGGANU - Kerajaan PAS Terengganu belum memberi kata putus berhubung masa depan 900 kakitangan Agensi Tranformasi Rakyat Terengganu (ATRA) di negeri ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata setakat ini kerajaan negeri hanya menghentikan perjawatan ad hoc berikutan perlu menanggung kos kewangan yang tinggi jika ia dilanjutkan.

"Pada dasarnya perjawatan ATRA kita tidak hentikan tapi selaras dengan dasar kerajaan pusat di mana perjawatan lantikan politik kerajaan sebelum ini perlu dibubarkan.

Itupun atas status perjawatan ad hoc, manakala kakitangan kontrak dan sementara kita tidak ganggu. Kita masih lagi belum bincang sama ada kontrak mereka disambung atau dihentikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri 1/2018 Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Bangunan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Mohd Nor dalam pada itu berkata kerajaan negeri tetap membayar gaji bagi kakitangan adhoc yang dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka sehingga 30 Jun ini agar dapat membuat persiapan dan menyambut Aidilfitri yang tiba tidak lama lagi.

"Di samping itu dapat memberi ruang mencari pekerjaan lain, Insya-Allah jika diberi ruang oleh kerajaan negeri membuat perjawatan baru untuk mereka, mereka boleh memohon," katanya. - BERNAMA