KUALA LUMPUR - Sambutan Ramadan tahun ini memberi ujian besar buat penduduk di Kulim apabila terpaksa berdepan dengan bencana banjir kilat akibat hujan lebat beberapa hari kebelakangan ini.
Mangsa banjir yang terbabit kini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan.
Sehingga kelmarin, dianggarkan hampir 139 keluarga masih mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan di sekitar daerah Kulim dan ada juga beberapa pusat pemindahan sudah ditutup kerana ada mangsa yang sudah pulang ke rumah.
Malaysian Relief Agency (MRA) cawangan Kedah melakukan tinjauan segera di samping menyalurkan sumbangan awal berupa kit kebersihan diri seperti tuala, sabun, berus gigi dan beberapa peralatan lain untuk mereka yang tinggal di pusat pemindahan sementara.
Ketua Misi Banjir MRA Kedah, Ramlah Md Salleh, berkata, kit kebersihan itu adalah langkah awal yang dilaksanakan oleh pihaknya selepas mendapat tahu ada mangsa di pusat pemindahan.
"MRA Kedah akan melakukan tinjauan susulan bagi membantu mangsa pasca banjir di Kulim," katanya.
Sementara itu, MRA Kedah merayu rakyat Malaysia dan penyumbang di luar sana untuk terus membantu MRA Kedah dengan menyalurkan bantuan apatah lagi dalam suasana bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Maybank 5520 5969 7628 atas nama Malaysian Relief Agency atau hubungi 016- 618 6514 (Dr Saifullah Halim Al Hany).
Sumber: BH Online