Pegawai Kerajaan Kempen Untuk BN Dikenal Pasti, Tindakan Lanjut Dikenakan


SEREMBAN - Kerajaan Negeri akan mengenal pasti pegawai kerajaan terbabit dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk berkempen untuk Barisan Nasional (BN) sebelum mengambil tindakan lanjut.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata pihaknya sedang mengkaji langkah seterusnya termasuk kemungkinan tidak menyambung kontrak golongan itu.

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi kenyataan yang agak keras mengenai golongan ini dan kita di Negeri Sembilan turut mengkaji isu ini secara keseluruhan.

"Kita akan memerhatikan pegawai terbabit. Kita lihat dulu keputusan Perdana Menteri (terhadap golongan terbabit di peringkat Kerajaan Persekutuan) dan kita akan mengambil tindakan yang selaras," katanya pada sidang media di kediaman rasminya di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir kelmarin bahawa kerajaan sangsi terhadap kesetiaan pegawai kerajaan yang terbabit dalam PRU-14 dan berkempen untuk BN kerana keadaan itu mengganggu pentadbiran kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau akan memanggil pegawai kanan kerajaan negeri yang isteri mereka menghadiri majlis anjuran Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Negeri Sembilan BN (PEKERTI BN) di sini, kelmarin.

Katanya, pegawai terbabit akan diminta memberi penjelasan mengenai kehadiran isteri mereka ke majlis berkenaan, berikutan tindakan itu dianggap tidak sensitif dengan kenyataan Perdana Menteri mengenai isu kesetiaan, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon yang mengadakan sidang media bersama isteri Aminuddin, Wan Hasni Wan Yusof, di lokasi sama, berkata mereka akan memohon injunksi mahkamah berkaitan isu PEKERTI BN.

Katanya, pihaknya mendapati jawatankuasa lama menukar nama PEKERTI kepada PEKERTI BN April lalu, namun tidak membuat perubahan terhadap perlembagaan persatuan, antaranya mengenai jawatan Yang Dipertua yang perlu disandang oleh isteri Menteri Besar.

"Kita akan memohon injunksi dalam masa terdekat untuk mendapatkan semua dokumen dan rekod berkaitan persatuan ini termasuk penyata akaun dan minit mesyuarat.

"Kita juga akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan mengenai peralihan yang berlaku termasuk melantik jawatankuasa baharu," katanya.

Sumber: BH Online