SINTOK – Dua pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap bumbung Blok A Inapan Siswa (INASIS) Grantt dalam kampus induk universiti berkenaan di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, pelajar terbabit, Noor Shamine Amiera Rosli, 22, cedera di kepala dan luka di bahagian dagu manakala rakannya, Nuralin Shazleen Md Roos, 22, pula mengalami calar kecil di kepala.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Abdul Malek Abdul Karim berkata, kedua-dua pelajar terbabit kemudian dihantar ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) pada jam 4.30 petang sebelum dirujuk ke Hospital Jitra.
Katanya, Noor Shamine menerima empat jahitan di kepala selain luka di bahagian dagu, manakala rakannya Nuralin Shazleen turut menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami.
“Setakat ini hasil siasatan awal mendapati terdapat kerja pemotongan pokok berhampiran oleh kontraktor sebelum berlaku angin kencang sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku.
“Sebagai langkah keselamatan, tujuh bilik di aras empat Blok A, INASIS Grantt dikosongkqn dan pelajar ditempatkan di rumah tamu Grantt sebelum ditukarkan ke bilik lain buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sumber: BH Online