PENDANG – Polis Kedah semalam memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang penjualan mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan.
Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Sahabudin Abd Manan berkata mereka yang berdegil akan berdepan tindakan tegas menurut Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000.
“Saya sudah mengarahkan semua ketua polis daerah dan ketua polis balai (OCS) memberi perhatian perkara ini dan semalam pun dah ada OCS yang membuat rondaan di bazar Ramadan di Pokok Sena dan saya percaya di tempat lain pun sama.
“Tindakan ini perlu kerana bermain mercun adalah berbahaya dan kita tidak mahu tragedi yang menimpa pelajar berusia 14 tahun di Kelantan baru-baru ini terjadi pula di Kedah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Pendang dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, di sini semalam.
Pada majlis itu, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ampang DSP Arriz Sham Hamezah menerima tugas selaku Ketua Polis Daerah Pendang, menggantikan Supt Fadzil Hashim yang dilantik Pegawai Turus Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Kepolisan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.
Perkep IPD Pendang pula menerima Wan Nur Haniza Wan Zain sebagai pengerusi baharu menggantikan Fariza Abdullah.
Mengulas perkembangan lain, Sahabudin berkata pihaknya akan terus memperketat kawalan di sempadan Bukit Kayu Hitam bersama-sama agensi-agensi lain sepanjang musim perayaan ini.
“Kita tidak bekukan cuti anggota tahun ini namun kita buat secara bergilir-gilir bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi dengan dadah dan bahan larangan lain. Kita juga bersedia dengan apa juga kemungkinan termasuk banjir memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang,” katanya.
Sementara itu mengulas pelantikannya, Arriz Sham berkata beliau akan memberi tumpuan kepada pembanterasan kegiatan berkaitan dadah di Pendang.
“Saya harap semua anggota dapat bekerja bersama-sama bagi menjayakan misi ini,” katanya. – BERNAMA