Usah Layan Desakan Pihak Minta Bubar Jakim- Ummah


ALOR SETAR - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Kedah memandang serius berkaitan isu dibangkitkan pihak tertentu supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan.

Pengerusi Ummah Kedah, Noor Hakimi Ab Halim berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa ada pihak tertentu mendesak kerajaan membubarkan Jakim kononnya demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, pihak terbabit turut mempertikaikan peruntukan dana awam bagi membiayai kos penguatkuasaan agama Islam, selain menuntut operasi membendung kegiatan khalwat dihentikan kerana dikatakan bercanggah dengan hak asasi manusia dalam konteks masyarakat liberal.

“Bagi Ummah Kedah, desakan dan tuntutan pihak berkenaan adalah tindakan melampau, bersifat ancaman dan mempersoalkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama bagi negeri-negeri.

“Dengan ini, ia sekali gus menyentuh perkara sensitiviti umat Islam yang merupakan penduduk majoriti di negara ini. Malah, pihak berkenaan seolah-olah memperkecilkan peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Noor Hakimi berkata, kedudukan Raja-Raja sebagai ketua agama di negeri dijelaskan melalui Perkara 3(1), manakala Perkara 3(2) Yang di-Pertuan Agong adalah adalah ketua agama Islam bagi Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Katanya, berdasarkan Perkara 3(5) juga menyatakan bahawa bagi Wilayah Persekutuan, Parlimen boleh membuat undang-undang berhubung hal ehwal Islam dan menubuhkan suatu majlis bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, tindakan kerajaan persekutuan atau negeri memperuntukkan sebarang perbelanjaan untuk Islam juga adalah sah berdasarkan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, Ummah mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mencampuri urusan hal ehwal umat Islam yang merupakan agama rasmi persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Bagi Ummah, Jakim adalah agensi kerajaan yang penting dalam mengurus hal ehwal Islam di peringkat persekutuan tanpa sama sekali mencampuri urusan agama lain yang bebas diamalkan di negara ini,” katanya.

Tambahnya, tindakan ancaman yang melampau tersebut bakal mengundang rasa gelisah dalam kalangan umat Islam serta mengganggu keharmonian dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

“Jadi, kami mengajak seluruh umat Islam merentasi sempadan politik serta status quo dalam masyarakat, agar bersatu mempertahankan institusi agama Islam yang wujud di negara ini dari pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Hakim berkata, kerajaan baharu Pakatan Harapan diminta supaya lebih peka dan tidak melayan sebarang tuntutan ataupun desakan daripada mana-mana pihak yang bertujuan meruntuhkan institusi agama Islam serta hal ehwal berkaitan agama Islam di negara ini.

Sumber: Sinar Online