Dr Mahathir dakwa tidak faham pendirian tidak tetap Pas

Gambar hiasan (arkib)
LANGKAWI — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak faham dengan sikap Pas yang berpendirian tidak tetap dalam menyuarakan sokongan terhadapnya untuk kekal sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir berkata, baru-baru ini beberapa pemimpin Pas menemui dan menyatakan sokongan agar beliau kekal sebagai perdana menteri, namun dalam situasi lain parti itu melakukan tindakan dilihat tidak menyokongnya.

“(Presiden Pas) Datuk Seri Abdul Hadi Awang, (Setiausaha Agung PAS) Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar datang berjumpa saya dan menyatakan sokongan kepada saya untuk terus sebagai perdana menteri.

“Bahkan mereka memberi pengakuan secara bertulis ditandatangani oleh Takiyuddin sekurang-kurangnya, hasrat mereka ialah supaya saya terus jadi perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kampungku Sihat peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi hari ini bahawa Pas dan UMNO akan menubuhkan jawatankuasa bagi mengelakkan pertembungan kedua-dua parti itu dalam mana-mana pilihan raya selepas ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata walaupun selepas menyatakan sokongan terhadapnya, parti itu yang pernah mengumumkan tidak akan terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, tetapi ada pemimpin mereka muncul bersama pemimpin UMNO semasa hari penamaan calon PRK itu.

Tambahan pula, beliau berkata tindakan Pas yang tidak bertanding dalam PRK itu juga menimbulkan persoalan sama ada mereka sebenarnya bekerjasama dengan UMNO untuk menentang calon Pakatan Harapan (PH) yang dilihat sebagai tidak menyokong perdana menteri.

“Pas pula tidak letak calon mereka (di PRK Semenyih) bermakna mereka akan memberi laluan kepada UMNO dan jelas sekali hari ini mereka bekerjasama dengan UMNO.

“Jadi saya susah nak terima apa yang didakwa oleh Pas, satu masa dia kata sokong, satu masa dia buat yang dia tidak sokong. Jadi inilah cara Pas,” katanya.

Baru-baru ini Abdul Hadi, Takiyuddin dan Ahmad Samsuri dilaporkan menemui Dr Mahathir di Putrajaya bagi menyatakan sokongan kepada pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu jika berlaku pengkhianatan daripada mana-mana parti komponen PH. — BERNAMA