Formula baharu tol beri kesan baik kepada rakyat, kata Saifuddin


SHANGHAI – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin pelaksanaan formula baharu kutipan tol yang diumum semalam dapat memberikan kesan yang baik kepada rakyat.

Beliau turut menyifatkan formula baharu itu sebagai langkah pertama kerajaan Pakatan Harapan dalam memenuhi manifesto mereka untuk memansuhkan tol di negara ini bagi mengurangkan beban rakyat.

“Topik tol telah banyak kali dibincangkan di peringkat jemaah menteri dan yang penting ialah mencari formula yang bersesuaian.

“Yang pertama tidak berterusan membebankan kedudukan kewangan kerajaan, yang kedua tidak sampai mencederakan pelaburan oleh syarikat konsesi, dan yang paling penting adalah tidak membebankan rakyat,” katanya selepas merasmikan cawangan pertama Tealive di China, semalam.

Jelasnya lagi, formula yang diguna pakai sekarang membebankan kewangan kerajaan, terutama apabila ia perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi bagi membekukan kenaikan kadar tol.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan kerajaan telah memulakan rundingan Gamuda Berhad yang merupakan pemegang utama konsesi empat lebuh raya, dalam usahanya menghapuskan kutipan tol.

Lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Sebagai ganti, caj kesesakan akan dikenakan kepada kenderaan yang melalui tol pada waktu puncak selama enam jam sehari manakala penggunaan pada waktu biasa pula diberikan diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada.

Bagi luar waktu puncak antara 11 malam dan 5 pagi, penggunaan lebuh raya adalah percuma.

Saifuddin kini dalam lawatan kerja tiga hari ke China.

Esok beliau akan menghadiri dialog perniagaan dengan ahli perniagaan China dan komuniti perniagaan Malaysia di China. – Bernama