Kemelut PFA tak jejas pembangunan akar umbi


KANGAR: Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) masih diteruskan meskipun badan induk itu kini sedang menghadapi kemelut dalam kancah Liga Malaysia.

Presiden Northern Lion FC (NLFC), Amran Hamid berkata, sebagai ahli gabungan PFA, pihaknya masih komited menjalankan tugas mengasah bakat bola sepak di setiap daerah bagi memastikan pembangunan sukan itu tidak lenyap di Perlis.

"Kami sebagai ahli gabungan, masih meneruskan aktiviti-aktiviti sukan dan pembangunan bola sepak di peringkat ahli gabungan.

"Malah kita dimaklumkan, bahawa pasukan yang dibangunkan oleh ahli gabungan layak menyertai sebarang liga anjuran MFL (Liga Bolasepak Malaysia) di masa hadapan sekiranya pasukan itu mampu dan memenuhi kelayakan meskipun kini PFA di ambang penyingkiran.

"Walaupun kita tahu kemelut yang berlaku sedikit sebanyak memberi kesan kepada industri bola sepak negeri, namun untuk menyalahkan PFA seratus peratus adalah satu tindakan tidak wajar," katanya ketika ditemui dalam sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pembangunan Bola Sepak Remaja Perlis di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Perlis malam tadi.

Sebelum ini, MFL membatalkan penyertaan PFA dalam kancah Liga Perdana selepas pasukan Singa Utara kemungkinan tidak mampu bertahan sepanjang tempoh saingan liga berikutan tidak memiliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan.

Berikutan itu, PFA dilihat hilang arah tuju dan banyak pihak membayangkan sukan bola sepak di negeri itu bakal lenyap susulan keputusan oleh MFL terhadap skuad Singa Utara.

Amran berkata, selaku ahli gabungan pihaknya kini sedang giat mencari bakat bola sepak melalui Liga Remaja Perlis yang dijangka bermula antara Julai hingga Ogos ini bagi membentuk semula pemain negeri di peringkatnya.

"Kita akan teruskan agenda pembangunan bola sepak di negeri ini dan kita mahu kembalikan kegemilangan Singa Utara dalam jangka masa beberapa tahun ini.

"Jadi kita mengalu-alukan pemuda yang berumur 25 tahun dan ke bawah untuk sertai liga ini," katanya.

Jumlah ahli gabungan PFA adalah sebanyak 12 yang terdiri daripada beberapa persatuan dan kelab bola sepak peringkat negeri dan antaranya ialah NLFC, Kelab Sukan IPK Perlis, Persatuan Bolasepak Wanita Perlis, dan Persatuan Pengadil Kangar.

Sumber: BH Online