Pengesahan SPRM bukti Pas difitnah – Takiyuddin


KUALA LUMPUR – Pengesahan SPRM tiada dana RM90 juta dimasukkan ke akaun Pas membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepada parti itu adalah satu pembohongan, fitnah liar dan perancangan jahat untuk memburukkan imej Pas.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya ada lagi pihak yang meneruskan fitnah seumpama itu.

“Pas menyeru semua pihak agar dapat menerima pengesahan daripada SPRM ini sebagai suatu fakta sahih yang dibuat hasil siasatan yang telus, profesional dan dengan tanpa gentar atau pilih kasih kepada mana-mana pihak.

“Pas menggesa isu ini dihentikan dengan segera, dan Pas berhak mengambil segala tindakan mengikut undang-undang sekiranya ada lagi pihak yang meneruskan fitnah seumpamanya,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull hari ini berkata, siasatan setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan dana 1MDB ke dalam akaun Pas.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada siasatan terhadap Pas akan ditutup, susulan daripada pengesahan ini. – MalaysiaGazette