PH tubuh seksyen khas semak semula Manifesto PRU14


BANGI – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menubuhkan satu seksyen khas bagi menyemak dan memformulasi semula manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) agar dapat disesuaikan dengan keadaan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, langkah itu diambil bagi memastikan janji PRU14 dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi kerajaan sekarang.

Seksyen ini diwujudkan kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PH amat prihatin dengan perkara yang dijanjikan dalam manifesto pada PRU14, katanya ketika ditemui selepas menutup Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Ansara di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini semalam.

Jelasnya, manifesto PRU14 digubal berdasarkan fakta yang terhad dengan sebahagiannya tidak ada dalam domain umum.

“Jadi, apabila PH menjadi kerajaan, kesemua manifesto terpaksa diformulasi semula dengan versi lain selepas semua data dan fakta diteliti selain mengkaji kekangan baharu yang timbul,” katanya.

Ditanya mengenai perundingan di antara kerajaan dan Gamuda Berhad yang memegang konsesi empat lebuh raya, Amiruddin berkata, perincian lain akan diumumkan selepas kesemua perkara berbangkit diperhalusi.

Ditanya kemungkinan pengumuman diskaun dan penghapuskan tol pada waktu tertentu yang dibuat semalam boleh dilaksanakan pada tahun ini, Amiruddin menjawab: “Doalah banyak-banyak.”

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu, Dr Mahathir berkata kerajaan berhasrat memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Dalam kenyataan sama, perdana menteri menjelaskan PH telah berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan memansuhkan kutipan tol secara berperingkat, mengikut syarat-syarat perjanjian konsesi. Sebagai ganti, caj kesesakan akan diperkenalkan iaitu pengguna dikenakan bayaran caj kesesakan pada kadar sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak manakala bagi penggunaan waktu biasa, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada.

Bagi tempoh 11 malam hingga 5 pagi pula, penggunaan empat lebuh raya terbabit adalah percuma. – Bernama