UMNO - PAS, Satukan Umat Melayu Islam


Satu hari penulis bertemu sahabat lama. Banyak perkara kami bualkan daripada kenangan di zaman persekolahan, cabaran anak-anak sekarang, ancaman lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), liberalisme sehinggalah hal berkaitan politik semasa ketika menikmati secangkir kopi di sebuah restoran.

Yalah, sudah lama tidak bertemu, jadi macam-macam isu kami bincangkan dan kalau bercerita bab politik, sahabat penulis ini boleh dikategorikan seorang pemerhati politik yang baik serta mempunyai jangkaan yang agak tepat.

Antara isu politik yang kami `kupas’ ialah kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji sehingga rakyat mula memberi pelbagai gelaran kepada kerajaan sekarang sebagai tanda protes.

Sebab itulah terdapat netizen mula menularkan dalam media sosial ceramah-ceramah politik barisan kepimpinan PH yang mengandungi pelbagai janji sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) seperti penurunan harga minyak, penghapusan tol dan penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Rakyat kecewa janji-janji itu telah dimungkiri. Siapa tidak mahu menikmati petrol seliter RM1.50 namun sehingga kini keadaan itu masih tidak berlaku. Sebaliknya penetapan harga runcit minyak masih dibuat secara mingguan. Terkini iaitu Jumaat lalu, harga runcit RON95 diumum naik daripada RM1.98 kepada RM2.08 seliter manakala harga RON97 pula meningkat kepada RM2.38 seliter daripada RM2.28.

Selain itu kami turut menjangkakan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula kerusi Semenyih selepas kejayaannya di Cameron Highlands. Ia berdasarkan kepada beberapa petunjuk antaranya sokongan padu rakyat yang diberikan kepada kempen BN serta kemungkinan wujudnya sabotaj dalam kem PH.

Juga perkembangan tentang kerjasama antara UMNO dan Pas. Topik ini bagi kami sangat penting memandangkan dua parti itu telah menjadi musuh politik sejak sekian lama. Yang pasti, kerjasama itu berjaya dibentuk selepas BN kalah dalam PRU-14 yang lalu. Kata sahabat penulis, itulah antara hikmah terbesar kekalahan BN. Katanya, Allah SWT telah merencanakan sesuatu demi kepentingan Islam dan Melayu menerusi kerjasama UMNO dan Pas. Katanya lagi, Allah mahu orang Melayu di negara ini bersatu.

Hikmah kekalahan

Katanya lagi, jika BN masih memegang tampuk kuasa, kemungkinan kerjasama antara dua parti ini sukar dilaksanakan walaupun ada usaha ke arah itu. Penulis bersetuju 100 peratus dengan pandangan tersebut. Atas sebab itu kita perlu yakin bahawa kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu mempunyai 1,001 hikmah terutama berkaitan perpaduan Melayu.

Tidak pernah terbayang di mata kita, dua parti bermusuh sehingga ke peringkat berlakunya perpecahan akhirnya berganding bahu. Semuanya bermula pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis. Di PRK inilah terbitnya benih kerjasama antara UMNO dan Pas.

Kemudian diikuti tiga PRK lain iaitu DUN Balakong, DUN Seri Setia dan Parlimen Cameron Highlands. Baik barisan kepemimpinan mahu jentera daripada kedua-dua parti, mereka sentiasa bergerak bersama berkempen untuk memenangkan calon yang bertanding.

Bagaimanapun dalam PRK Sungai Kandis dan Balakong calon BN iaitu Datuk Lokman Noor Adam dan Tan Chee Teong mengalami kekalahan. Begitu juga calon Pas, Dr. Halimah Ali ketika bertanding dalam PRK DUN Seri Setia.

Sungguhpun begitu kerjasama tersebut mula menampakkan hasilnya apabila calon BN, Ramli Mohd. Nor menang dalam PRK Cameron Highlands, 26 Januari lalu. Tidak boleh dinafikan kesungguhan jentera daripada kedua-dua parti dalam meraih sokongan pengundi menjadi salah satu penyumbang kepada kemenangan Ramli.

Malah dalam satu temu bual stesen televisyen tempatan, ahli-ahli Pas tidak menyangka satu hari nanti mereka mampu membina satu hubungan ukhwah antara UMNO dan Pas selepas kedua-dua parti menjadi seteru berdekad-dekad lamanya. Apapun dengar cerita juga ada pihak mula gelisah selepas melihat UMNO dan Pas jalinkan kerjasama. Betulkah?

Sumber: Utusan Online