6 RUMAH HANGUS TERBAKAR DI JALAN DATO' KUMBAR


ALOR SETAR - Sebanyak enam rumah di Jalan Dato Kumbar, Lorong Kenanga, Kampung Kubang Buaya dekat sini musnah dalam kebakaran kira-kira jam 11 pagi semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, seorang pegawai dan 19 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Alor Setar dan BBP Jalan Raja bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 11.06 pagi.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, lima rumah musnah hampir 95 peratus manakala sebuah rumah musnah sehingga 85 peratus.

"Kebakaran melibatkan lima rumah satu tingkat dan sebuah rumah dua tingkat.

"Kejadian kebakaran rumah-rumah ini tidak melibatkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kebakaran turut melibatkan kereta Proton Iswara Aerobek dan lima motosikal jenis Honda Ex5, Suzuki RG, Suzuki RG Sport dan Honda NSR.

"Kesemua maklumat nombor pendaftaran kenderaan tidak dapat disahkan.

"Kerja-kerja pemadaman dilakukan dengan tiga aliran enam pancutan dari jentera BBP Alor Setar dan BBP Jalan Raja," kata beliau. - Sinar Online