BERSATU, PH MASIH YAKIN DAPAT SOKONGAN RAKYAT KEDAH


ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kedah yakin rakyat masih memberi sokongan kepada pemerintahan mereka di negeri berkenaan.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, ini berdasarkan kehadiran orang ramai yang di luar jangkaan pada program Jelajah Mandat Rakyat di Dataran Stargate malam tadi.

Menurutnya, hebahan mengenai program berkenaan diadakan dalam tempoh yang singkat menerusi grup WhatsApp sahaja.

"Kita tidak menyangka begitu ramai sekali yang hadir pada malam ini untuk mendengar penjelasan daripada pemimpin PH dan Bersatu yang masih memimpin negeri ini," katanya kepada media selepas program Jelajah Mandat Rakyat di sini malam tadi.

Johari berkata, beliau juga berbangga apabila yang datang itu bukan dari satu kelompok sahaja sebaliknya dari semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India

"Inilah wajah-wajah rakyat yang mahukan perubahan, kestabilan politik dan pembangunan di negeri ini. Bagi saya ia suatu petanda yang baik," katanya.

Johari yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah berkata, program jelajah berkenaan akan diteruskan ke beberapa kawasan lagi selepas ini.

"Mengikut perancangan siri jelajah ini akan ke Padang Serai esok untuk bertemu dengan rakyat di sana.

"Saya yakin jika kita berterusan bertemu rakyat di bawah, mereka akan berasa lega kerana urusan tadbir negeri telah diperkemaskan dan membuktikan bahawa kerajaan negeri masih berjalan seperti biasa," katanya.

Terdahulu, hampir 1,000 penduduk di sekitar Alor Setar memenuhi Dataran Stargate di sini malam tadi.

Walaupun hujan renyai pada pertengahan program namun mereka masih tidak berganjak sebagai tanda sokongan kepada pemimpin yang hadir. - Roshila Murni Rosli/Sinar Online