DAP HANYA ALASAN UNTUK KHIANATI MANDAT RAKYAT - MAHFUZ


KLANG - Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa isu DAP hanya dijadikan alasan bagi pihak tertentu mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, isu DAP mengancam agama Islam dan Melayu telah dimainkan sejak sekian lama oleh pihak yang mahu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Ada golongan yang perjuangkan Islam seperti Pas suatu ketika dahulu didakwa menjadi barua kepada DAP. Ada yang tuduh ulamak Pas ikut telunjuk DAP (ketika dalam Pakatan Rakyat) tetapi mereka kata isu tersebut tak timbul dan jadi masalah.

"Sekarang mereka gunakan alasan yang UMNO dakwa mereka suatu ketika dahulu. Sekarang mereka juga halalkan dakwaan (DAP jadi punca masalah) bagi merampas kuasa untuk menjadi Perdana Menteri," katanya pada Ceramah Jelajah PH Kota Raja di Taman Sri Andalas di sini malam ini.

Mahfuz berkata, beliau tidak merasa malu kehilangan jawatan dan perlu meninggalkan Putrajaya tetapi perjuangan perlu diteruskan kerana Malaysia kembali ditadbir oleh perompak dan penyangak yang ditolak pada PRU lalu.

"Pas menang pada PRU lalu atas semangat rakyat atau pengundi mereka yang mahu menolak UMNO pada ketika itu.

"Ucapan dan ceramah mereka pada kempen PRU lalu mengatakan bahawa ancaman, jika masih dipanjangkan hayat UMNO terus berkuasa di Malaysia. Sentimen ini buat pengundi Pas percaya parti itu menolak UMNO tetapi sekarang bersama mereka," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat perlu melihat kepada keperluan menggerakkan usaha berterusan beri kesedaran menolak Perikatan Nasional.

"Saya percaya ini bukan masalah DAP. Parti itu hanya menjadi 'punching' beg.

"Lihat di Melaka, adakah DAP menjadi penyebab kepada individu yang tidak dapat menjadi Ketua Menteri? Malu orang Melayu berebut kuasa," katanya.

Katanya, PH sedang membina semangat supaya rakyat tidak bersekongkol dengan kleptokrasi.

"Mandat rakyat perlu dikembalikan di Putrajaya," katanya. - Sinar Online