Dia tidak pernah memenangi sebarang anugeral Nobel. Dia tidak milik Sarjana, mahupun ijazah kedoktoran PhD. Tiada sebarang akademi atau institusi ditubuhkan untuk mengkaji keperibadian dan ketokohannya. Dia bukan Mandela, dia bukan Gandhi. Dia bukan Dr. Mahathir, dia bukan Anwar Ibrahim.
Dia adalah Abu Dzar Al-Ghifari, salah seorang sahabat terawal memeluk agama Islam. Nama sebenar beliau ialah Jundub bin Junadah. Walau beliau tidak bersama Rasulullah SAW dari awal memeluk Islam, Abu Dzar diperintahkan untuk pulang ke penempatan kabilahnya, al-Ghifar, bagi tujuan dakwah. Namun kemudian, beliau sukarela menugaskan dirinya sebagai khadam Rasulullah SAW sehinggalah baginda wafat.
Abu Dzar Al-Ghifari amat terkenal sebagai seorang sahabat yang sangat zuhud peribadinya. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Barangsiapa yang ingin melihat kezuhudan Nabi Isa bin Maryam, maka lihatlah kepada Abu Dzar.”
Zuhudnya diri Abu Dzar telah membuat beliau rasa rendah diri dan merasakan dirinya tidak cukup menyumbang kepada perkembangan Islam. Ekoran perasaan sedih itu, beliau pun cuba meminta Rasulullah SAW memberikan satu jawatan supaya beliau dapat turut sama menyumbang ke arah perkembangan Islam sebagaimana sahabat lain.
Atas itu, Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Dzar:
“Sesungguhnya engkau adalah orang yang lemah, dan sesungguhnya jawatan itu adalah amanah, dan sesungguhnya jawatan itu akan menjadi kehinaan dan penyesalan bagi orang yang menerima jawatan itu, kecuali orang yang mengambil jawatan itu dengan cara yang benar dan dia menunaikan amanah jawatan itu dengan benar pula”
Maka kerana sabda Rasulullah itu maka Abu Dzar menyedari tentang amanah yang mungkin tidak tertanggung olehnya lalu membentuk sifat zuhud yang begitu murni, merelakan diri berkhidmat untuk Rasulullah SAW sehingga baginda wafat.
Maka tidak hairanlah juga bahawa Abu Dzar sangat takut kepada kekayaan. Bagi beliau, seseorang itu tidak wajar memiliki harta melebihi keperluan sehari semalam sahaja. Beliau sangat terkesan dengan ayat 34 &35 dari Surah At-Taubah yang melarang menyimpan harta emas dan perak.
Semasa hayatnya, Abu Dzar juga dikenali sebagai "peguam" kepada faqir miskin kerana sikapnya yang suka membela nasib orang miskin. Hakikatnya, dia sendiri pun tergolong di kalangan fakir miskin seperti yang dibela. Beliaulah menjadi tempat masyarakat miskin mengadu dan beliau sendiri kemudiannya akan menyuarakannya ke peringkat atasan.
Dengan kezuhudan yang tinggi itu, beliau dikurniakan hati yang cekal dan sangat ikhlas terhadap Islam.
Dalam satu kisah ketika perang Tabuk, Rasulullah SAW memerintahkan supaya setiap orang Islam yang berkemampuan untuk menyertai perang tersebut, kecuali yang tidak memiliki kenderaan. Pengecualian itu adalah disebabkan medan perang Tabuk yang letaknya sangat jauh, malah medan perang paling jauh dalam sejarah perang yang disertai Rasulullah SAW.
Abu Dzar ikut bersama pada awalnya. Namun disebabkan haiwan yang menjadi tunggangannya agak lemah, beliau tertinggal jauh di belakang keseorangan, terpisah dari gerombolan pasukan.
Para sahabat yang kasihan pada Abu Dzar meluahkan rasa mereka kepada Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda:
“Jika Allah menghendaki kebaikan padanya, dia akan sampai juga tapi jika sebaliknya, dia tidak akan bersama.”
Akhirnya Abu Dzar ambil keputusan turun dari haiwannya dan berjalan kaki mengejar rombongan tentera Islam. Rasulullah SAW ketika melihat kelibat Abu Dzar datang berseorangan dari belakang, merasa sangat terharu lalu bersabda:
“Rahmat Allah terhadap Abu Dzar. Beliau berjalan keseorangan, mati keseorangan dan dibangkitkan keseorangan.”
Dalam satu lagi kisah yang berlaku di zaman Khalifah Uthman Al-'Affan, Abu Dzar melihat umat Islam ketika itu hidup bagai dalam kemewahan. Beliau yang tidak suka dengan keadaan itu lalu mengambil keputusan untuk keluar dari tempat tinggalnya di Syam dan menuju padang pasir tidak berpenghuni iaitu di Rabzah.
Di sanalah Abu Dzar menghabiskan sisa-sia hidup bersama isteri, jauh terpencil dari manusia lain. Di saat kematiannya, isterinya tiba-tiba menangis. Abu Dzar bertanya lalu isterinya menjawab:
“Bukan aku menangis kerana kamu akan mati. Tetapi kerana kita tidak memiliki sebarang kain untuk dijadikan kafan.”
Kata Abu Dzar:
“Baringkan aku di tengah padang pasir. Nanti akan ada orang yang lalu di sini dan mereka akan menguruskan aku.”
Maka isteri Abu Dzar pun patuh pada melakukan wasiat tersebut. Tidak lama kemudian, selepas dibawa ke tengah padang pasir, ditakdirkan Allah lalulah serombongan umat Islam disertai oleh Abdullah Ibn Mas’ud.
Tatkala menyedari jasad yang kaku itu adalah Abu Dzar Al-Ghifari, seorang sahabat besar yang sangat disayangi Rasulullah SAW, maka Abdullah Ibn Mas’ud pun menangis dan mengatakan:
“Benarlah sabda Rasulullah SAW. Dia berjalan sendirian, mati sendirian dan dibangkitkan sendirian”
Islam sebenarnya kaya dengan tokoh yang sangat ramai. Abu Dzar misalnya merupakan tokoh Islam terbilang yang sangat dekat jiwanya dengan agama Allah. Ketokohannya tidak terbanding, zuhudnya Abu Dzar bagai zuhudnya Nabi Isa AS.
Abu Dzar pembela rakyat yang fakir, tidak berharta. Beliau bersuara demi golongan bawahan, namun tidak pernah mengharap sebarang balasan keduniaan. Walau dirinya sangat rapat dengan Rasulullah SAW, beliau tetap bersikap zuhud sehingga ke akhir hayatnya.
Itulah Abu Dzar Al-Ghifari, tokoh terbilang yang wajar menjadi kebanggaan umat Islam serata dunia, khususnya di akhir zaman ini. Wallahu'alam. - Kedahnews.com