"KITA TAKKAN SERAHKAN KERAJAAN NEGERI KEPADA PAS" - MUKHRIZ


KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertekad untuk mempertahankan negeri Kedah.

Beliau yang merupakan Menteri Besar Kedah itu menyatakan, kerajaan negeri berkenaan masih tidak berubah kerana beliau tidak bersama pimpinan Bersatu di peringkat Pusat.

Katanya, dakwaan kerajaan negeri dikuasai DAP juga tidak boleh diterima kerana parti itu hanya mempunyai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Majlis Kerajaan Negeri.

“Walaupun keadaan kita umpama telur di hujung tanduk, kita tetap mempertahankan Kedah bermati-matian dan kita tak akan serahkan kerajaan negeri kepada Pas.

“Kita tak ada masalah di Kedah, tak ada isu. Menteri Besar kita Melayu, Exco ramai Melayu dan kakitangan negeri juga hampir semuanya Melayu.

“Selepas Johor dan Perak, Bersatu tidak ada apa lagi. Jika tumbang Kedah, maka tumbanglah Bersatu pada peringkat nasional,” katanya dipetik BH Online ketika berucap pada Program Penerangan Bersatu Kedah di Seri Mentaloon malam tadi.

Mukhriz menjelaskan, walaupun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menjadi Perdana Menteri, hakikatnya Kerajaan Persekutuan dikuasai UMNO dan Pas.

Dalam perkembangan lain Mukhriz menegaskan, hingga saat ini, Tun Dr. Mahathir Mohammad masih memegang jawatan Pengerusi Bersatu selepas peletakan jawatannya ditolak Majlis Pimpinan Pusat. – MalaysiaGazette