LANG MERAH PATAH SAYAP DILIBAS PENYU


ALOR SETAR: Kedah gagal dalam misi mendapatkan tiga mata pertama pada saingan Liga Super musim ini apabila tewas 4-3 di tangan kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Beraksi di hadapan hampir 10,000 penyokong setia, skuad Lang Merah kendalian Aidil Sharin Sahak terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan seawal minit kedua Dominique Da Sylva yang melakukan tandukan berpunca dari sepakan sudut oleh Lee Tuck.

Kedah bangkit dengan dua percubaan bahaya oleh Kpah Sherman dan Baddrol Bakhtiar masing-masing pada minit keempat dan 13 namun penjaga gawang TFC Rahadi Azli Ramalim berjaya menggagalkan gerakan Kedah.

Skuad Lang Merah akhirnya menceriakan penyokong setianya dengan gol pertama pada minit ke-19 selepas bola sepakan percuma oleh Hadin Azman gagal ditangkap kemas penjaga gawang TFC dan kesempatan itu diambil Renan Alves untuk membolosi gawang TFC.

Selang dua minit Stadium Darul Aman kembali gamat dan kali ini giliran penyerang sensasi Kedah Kpah Sherman yang berjaya menggerakkan bola dengan baik hasil hantaran pemain bek kanan Rizal Ghazali dan seterusnya merembat bola menewaskan Rahadi Azli.

TFC tampil dengan beberapa cubaan melalui serangan balas oleh Faris Ramli dan Da Sylva, namun kedudukan dua gol untuk Kedah dan satu untuk TFC itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, Kedah menambah gol ketiga menerusi Kipre Tchetche pada minit ke-61 hasil lorongan Shakir Hamzah.

Keceriaan Kedah tidak kekal lama apabila tiga minit selepas itu, TFC merapatkan jurang menerusi Da Slyva yang mendapat peluang di hadapan gol hasil dari hantaran sepakan sudut.

TFC menambah duka Kedah apabila dua gol lagi diledak Da Sylva pada minit ke-81 dan ke-83. - BH Online