LIVERPOOL KALAH LAGI...


LONDON: Chelsea menghadiahkan kekalahan ketiga dalam empat perlawanan buat Liverpool, seterusnya mara ke suku akhir Piala FA.

Jaringan Willian dan Ross Barkley memberikan skuad kendalian Frank Lampard kemenangan amat diperlukan di Stamford Bridge, hari ini.

Begitupun, Liverpool masih kekal di landasan untuk meraih gelaran Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam 30 tahun dengan kelebihan 22 mata.

Namun kempen mereka boleh tamat lebih awal kecuali dapat menukar kekalahan 1-0 pada pusingan pertama berdepan Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara minggu depan.

Dalam aksi menentang Chelsea, Jurgen Klopp membuat tujuh perubahan terhadap skuad Liverpool yang tewas buat pertama kali dalam 45 saingan Liga Perdana berdepan Watford awal pagi Ahad lalu.

Begitupun Klopp masih meletakkan barisan kuat berbanding pasukan remaja yang kalah kepada Everton dan Shrewsbury untuk mara ke pusingan kelima.

Juara Eropah itu tampak mahu membalas kekalahan mereka dan memberikan peluang mencipta trebel tetapi dinafikan dengan kepulangan Kepa Arrizabalaga di gawang Chelsea yang menyelamatkan cubaan Sadio Mane.

Kepulangan penjaga gol termahal dunia itu adalah antara enam perubahan dibuat Lampard selepas seri 2-2 berdepan Bournemouth dengan Willian juga kembali menyertai kesebelasan utama. - AFP