LIVERPOOL: Liverpool bangkit daripada deretan kekalahan dengan menewaskan Bournemouth 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Bagaimanapun mereka dikejutkan dengan gol awal Bournemouth menerusi Callum Wilson pada minit kesembilan, selepas dibayangi dengan tiga kekalahan dalam empat perlawanan sebelum ini.
Mohamed Salah dan Sadio Mane masing-masing meledak satu gol pada minit ke-25 dan 33 untuk memastikan Liverpool kembali meraih kemenangan, sekali gus melebarkan jurang di puncak liga kepada 25 mata.
Bournemouth kekal dalam kelompok tiga tercorot selepas gagal mengutip mata pada aksi malam ini. Namun mereka hanya boleh menyalahkan diri sendiri walaupun berada di depan di awal permainan.
Pemain gantian Jack Simpson terlepas bola kepada Mane di kedudukan berbahaya yang akhirnya disudahkan Salah untuk gol Liga Perdana ke-100 pemain Mesir itu.
Lapan minit kemudian Bournemouth sekali lagi hilang bola dan Virgil van Dijk membuat umpanan kepada Mane untuk gol kemenangan Liverpool. – AFP