Vaksin Covid-19: Kerajaan Perhalusi


PUTRAJAYA – Kerajaan perlu memperhalusi beberapa perkara termasuk harga yang ditetapkan gabungan Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) sebelum perolehannya dapat dimuktamadkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain isu harga yang ditawarkan Covax, aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah liabiliti membabitkan vaksin yang dibekalkan selain perkara-perkara yang tidak memihak kepada Malaysia.

Beliau berkata, Covax sudah menetapkan harga untuk vaksin Covid-19 biarpun ia masih belum berjaya dihasilkan ketika ini.

“Biasanya kalau hendak membeli sesuatu, kita perlu tahu harganya tetapi vaksin belum ada, kita dikehendaki membayarnya,” katanya pada sidang media mengenai penularan Covid-19 hari ini.

Selain penetapan harga vaksin yang masih dalam peringkat pembangunan, Dr. Noor Hisham berkata, Covax juga menawarkan harga yang berbeza-beza mengikut negara.

Beliau berkata, kerajaan juga melihat keberkesanan dan komplikasi penggunaan vaksin berkenaan.

Katanya, isu keselamatan adalah amat penting dan kementeriannya perlu memastikan perkara itu sebelum ia diberikan kepada orang awam.

“Kalau ada komplikasi penggunaan vaksin tersebut, kerajaan yang perlu bertanggungjawab bukannya syarikat,” ujarnya.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, Malaysia masih bersetuju berada dalam gabungan Covex supaya berpeluang berbincang dengan negara lain menerusi antara kerajaan (G2G).

“Setakat ni kajian fasa tiga vaksin Covid-19 sudah dijalankan namun, belum ada data yang diumumkan.

“Secara teknikalnya, kita lihat kepada keberkesanan dan komplikasi,” tambahnya. – MalaysiaGazette