3 Jam Iklan Diri Guna QR Code, Penganggur Akhirnya Dapat Kerja


LONDON – Seorang penganggur yang mencari pekerjaan dengan mewujudkan gerai jualan semetara di stesen Canary Wharf Selasa lalu berjaya memperoleh temu duga selepas tiga jam dan mendapat pekerjaan pada hujung minggu ini, lapor laman berita MyLondon.

Haider Malik, 24, mengambil keputusan untuk pergi ke bangunan yang sibuk itu pada awal pagi 2 November lalu dengan harapan untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang perbankan dan kewangan.

Pemegang ijazah sarjana muda kelas pertama dalam Perbankan dan Kewangan dari Universiti Middlesex itu cuba mendapatkan pekerjaan sejak awal pandemik Covid-19.

Namun, dia berasa sukar untuk menyerlahkan personalitinya menerusi panggilan temuduga yang dijalankan secara maya.

Dia kemudian membeli papan dari kedai alat tulis di Romford dan melekatkan kod QR padanya supaya orang ramai boleh melihat profil CV dan LinkedIn miliknya dengan mudah.

“Namun, pada lima atau 10 minit pertama di situ, saya berasa gementar kerana hanya berdiri di situ dengan tangan kosong.

“Saya tidak tahu apa yang sedang saya lakukan dan menganggap ia sangat canggung,” katanya.

Namun, dia mula melemparkan senyuman dan berbual dengan orang awam yang sedang dalam perjalanan ke pejabat.

Haider memberikan resume miliknya dan selepas sejam, dia menerima mesej yang memintanya untuk menghadiri temuduga bagi jawatan Penganalisis Perbendaharaan di Canary Wharf Group.

Beberapa hari kemudian, dia mendapat panggilan temu bual kedua dan ditawarkan pekerjaan tersebut. – AGENSI