3 Kaki Sabung Ayam Lari Bertempiaran Sebelum Dicekup Polis


JULAU - Tiga daripada sekumpulan kaki sabung ayam ditahan selepas bertempiaran lari apabila diserbu anggota pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Julau.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Polis Andam Sulin, berkata ketiga-tiga lelaki berusia 59 hingga 75 tahun itu ditahan dalam serbuan di kawasan kebun Nanga Sempang Ulu Entabai Julau, kira-kira jam 3.30 petang, kelmarin.

"Polis turut merampas dua ayam sabung hidup, dua ayam sabung mati, satu unit alat penimbang, papan tertulis jadual pertaruhan dan dua bilah taji," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata semua tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Penganiyaan Binatang 1963.

Andam berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat daripada orang awam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar orang ramai tidak menjalankan kegiatan sabung ayam kerana ia bukan sahaja menjadi kesalahan di sisi undang-undang, tetapi juga boleh menyebabkan orang ramai berkumpul sekali gus mendatangkan risiko penularan wabak COVID-19.

Sumber: BH Online