5 Pelajar Senior Ditahan, Buli Pelajar Junior Maahad Tahfiz


PETALING JAYA - Lima pelajar senior sebuah pusat tahfiz di Hulu Langat ditahan kerana didakwa terbabit dalam kejadian buli dua pelajar junior, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan berkata, semua suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada bapa saudara kedua-dua mangsa pada jam 6.19 pagi.

“Kelima-lima suspek berusia antara 14 hingga 24 tahun merupakan pelajar senior di madrasah tahfiz berkenaan. Suspek bertindak memukul dan membuli kedua-dua mangsa berusia 11 dan 12 tahun yang juga pelajar tahun kedua di sekolah terbabit,” katanya menurut laporan Kosmo, semalam.

Menurut Mohd Zaid, hasil siasatan awal mendapati mangsa cedera di muka dan badan dipercayai akibat ditampar, ditumbuk dan ditendang lima pelajar senior itu.

Jelasnya, aktiviti buli itu dipercayai telah berlanjutan selama beberapa bulan di mana kedua-dua mangsa telah dibuli dan diugut jika cuba memberitahu pihak madrasah.

“Kedua-dua mangsa kemudian telah dirujuk ke hospital dan doktor telah mengesahkan salah seorang mangsa mengalami kecederaan pendarahan di mata kiri dan seorang lagi perlu menjalani pemeriksaan lanjut.

“Susulan maklumat itu, polis bertindak menahan lima suspek itu pada hari yang sama dan mereka direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 147 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. 

Sumber: FMT