Adnan Saidin: Anak Kedah Lagenda Sepak Takraw Negara


NEGERI KEDAH sememangnya amat sinonim dengan kejayaan melahirkan ramai tokoh terbilang tanah air dalam pelbagai bidang, termasuk dalam arena sukan negara.

Pada 25 Februari 1957 iaitu beberapa bulan sebelum negara kita mencatat sejarah kemerdekaan, Saidin dan pasangannya, Che Tom Shamsudin, begitu bertuah apabila dianugerahkan seorang bayi lelaki yang kemudian diberi nama Adnan.

Siapa sangka, Adnan anak kelahiran Kampung Padang, Tandop di Alor Setar ini telah menempa nama setelah dewasa dengan jolokan “Lagenda Sepak Takraw Asia”!

Selain dikenali sebagai “Raja Sepak Takraw Asia”, Adnan turut digelar sebagai “Raja Libas” atau “Raja Sepak Takraw Malaysia” yang cukup digeruni dengan libasan pari dan libasan gulung yang mampu “membunuh”!

Adnan mula berjinak dalam dunia sukan sepak takraw sejak usianya mencecah 10 tahun. Sejak itu, beliau gigih berlatih dengan mencuba pelbagai teknik sehingga terpilih mewakili negeri Kedah di bawah kendalian jurulatih, Suiad Osman, pada tahun 1973.

“Kejayaan yang saya genggam hari ini tidak datang dengan mudah kerana ia adalah hasil daripada disiplin yang tinggi dan berkat kesabaran. Setiap hari, saya berusaha menggantung bola sepak takraw pada pokok mempelam dekat rumah dan melibas dalam pelbagai gaya.

“Saya juga pantang jika melihat daun yang agak rendah kerana saya akan melompat dan cuba melibas hujungnya hingga daun itu terpisah daripada rantingnya,” ujar Adnan dalam satu wawancaranya bersama media.

Dua tahun kemudian, Adnan yang diletakkan pada posisi apit kiri telah mula menempa nama sebagai pemilik teknik libasan pari sehingga begitu sukar ditandingi dan beliau mula mewakili negara di peringkat kebangsaan.

Padu atau tidak, libasan Adnan suatu ketika dahulu pernah terkena tepat pada dada apit kanan musuh tradisi sepak takraw negara, regu Thailand, dan mengakibatkan pemain itu tumbang tiba-tiba, sesak nafas dan terpaksa diusung keluar gelanggang.

Sejak aksi final Sukan SEA di Jakarta 1979 tersebut, nama Adnan meniti dari bibir ke bibir di seluruh negara hingga menular ke negara Gajah Putih, sekali gus menjadikan regu Malaysia cukup disegani kawan dan lawan.


“Saya tidak dapat melupakan kejadian seorang rakan sepasukan dalam skuad Kedah yang patah gigi akibat terkena bola libasan saya yang melantun dan terkena mulutnya ketika sesi latihan Piala Emas Khir Johari di Dewan Datuk Syed Omar.

“Begitu juga insiden seorang penonton patah gigi apabila bola lantunan yang dilibas saya mencecah lantai gelanggang yang kemudian melantun ke mukanya,” kata Adnan, memetik laporan media dalam satu wawancara bersama lagenda sukan negeri Kedah itu.

“Regu berhantu”nya yang dibarisi oleh Raziman Hassan (apit kanan) dan Azman Ismail (tekong) pada aksi final menentang regu Thailand dalam Kejohanan MAS-Utusan Malaysia-RTM 1986, telah disaksikan oleh belasan ribu peminat yang membanjiri Stadium Negara.

Adnan berkahwin dengan pasangannya, Suraya Abdullah, dan dikurniakan dengan enam cahaya mata di mana salah seorang anaknya, Mohd Faizal Adnan, turut mengikut jejak langkahnya mewakili negara dalam sukan sepak takraw.

Beliau kini usianya mencecah 61 tahun kini tinggal bersama keluarganya di Taman Utama, Alor Setar, dan sebelum ini bekerja sebagai Juruteknik Kabel dan Perancangan di Tenaga Nasional Berhad (TNB), di ibu negeri Kedah ini.

Pencapaian Adnan dalam dunia sepak takraw negara dalam skuad kebangsaan amat membanggakan dengan berjaya merangkul pelbagai pingat dan anugerah sebelum bersara pada 1992.

Antara pencapaian lagenda sepak takraw negara itu adalah:

  1. Pingat emas Sukan SEA 1979
  2. Pingat emas Sukan SEA 1981
  3. Pingat emas Sukan SEA 1983
  4. Juara Regu Asia 1984
  5. Juara Kejohanan Dunia 1985
  6. Juara Kejohanan Dunia 1986

Manakala antara anugerah yang diterima Adnan adalah:

  1. Olahragawan Negeri Kedah 1980
  2. Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 1981
  3. Olahragawan Negeri Kedah 1984
  4. Pemain Terbaik Asia 1984
  5. Gelaran “Raja Sepak Takraw Asia” 198. - Kedahnews.com