Adun DAP Mahu Anwar Letak Jawatan Ketua Pembangkang


Seorang Adun DAP menggesa Anwar Ibrahim berundur sebagai ketua pembangkang berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini.

Menulis di Facebook, Adun Bilut, Lee Chin Chen berkata, pakatan pembangkang perlu meneroka hala tuju dan konsensus baru secepat mungkin.

Katanya, sekiranya gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk keluar daripada PH.

"Izinkan saya menjelaskan hujah saya secara jelas terlebih dulu: Saya berharap Anwar akan melepaskan baton kepimpinan, berada di belakang kepimpinan dan membantu pengganti generasi baru mencapai tahap yang baru.

"Saya menyeru Anwar berundur sebagai ketua pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti baru. Marilah kita meneroka hala tuju dan konsensus baru kita serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu,.

“Sekiranya tiada harapan untuk PH reset semula, kepimpinan DAP mesti mempertimbangkan untuk keluar daripada gabungan itu dan mencari kerjasama lain bagi memastikan negara mempunyai parti pembangkang yang setia  mempertahankan kepelbagaian dan politik sekularisme.

"Sebelum ini, PH sudah lebih setahun taaasub dengan permainan angka. Jika kita gagal menghentikan ini selepas kekalahan pilihan raya Melaka dan mengkaji semula hala tuju kita, jika kita terus membanding-bandingkan diri kita secara membuta tuli dengan parti politik Melayu, kita akan hanya mengulangi kekalahan dalam pilihan raya Melaka," katanya.

Dia berkata pilihan raya negeri Melaka adalah tamparan kepada PH.

PRN itu menyaksikan BN mencapai kemenangan besar dengan memenangi 21 kerusi dan memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

PH hanya berjaya memenangi lima kerusi, manakala PKR tewas di semua kerusi ditandinginya. 

"PH tidak sepatutnya mengikut tarian empat 'katak', membenarkan mereka bertanding di bawah tiket kita dan kita tidak boleh memperolokkan pengundi untuk menerima mereka," kata Lee, yang juga setiausaha DAP Pahang.

Katanya,  PH bukan sahaja berikrar untuk menggubal undang-undang anti-lompat parti tetapi juga menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dia merujuk kepada empat bekas Adun yang menarik balik sokongan mereka kepada ketua menteri Melaka sebelum ini, Sulaiman Md Ali yang menyebabkan pembubaran DUN Melaka pada Oktober lalu.

"Tanpa pilihan raya negeri, kita boleh bersiap sedia untuk pilihan raya akan datang dengan 11 kerusi DUN yang kita sandang pada mulanya. 

"PH bukan saja kehilangan enam kerusi malah ia dikritik kerana PKR dan Amanah menerima pembelot," katanya.

Menurunya lagi, ini menjadikan pengundi Cina, yang pada mulanya menyokong PH terlalu kecewa untuk keluar mengundi, khususnya di kerusi campuran.

Sumber: Mkini