Agihan Kerusi PH Di Sarawak: Anwar Kata Masih Bincang, DAP Kata Sudah Muktamad


Rundingan kerusi untuk pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan datang di kalangan parti-parti sekutu Pakatan Harapan telah dimuktamadkan, kata pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen.

Dia mengulas kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim dua hari lalu yang menyebut perbincangan sedang dijalankan untuk menangani pertindihan kerusi antara DAP dan PKR, manakala Pakatan Harapan (PH) akan berunding agihan kerusi dengan parti pembangkang lain, termasuk Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Pada sidang media semalam, Chong berkata PKR, yang pada mulanya bersetuju untuk bertanding 47 daripada 82 kerusi DUN, kini menuntut untuk bertanding sehingga 50 kerusi.

“Bagi saya, rundingan kerusi antara (parti-parti) PH telah dimuktamadkan dan persetujuan dicapai pada 2 Januari lalu,” katanya.

Perjanjian itu dipersetujui oleh pengerusi PKR Sarawak ketika itu Larry Sng, Pengerusi Amanah Sarawak Abang Halil Abang Naili dan Chong sendiri.

“Walaupun selepas Sng keluar parti, perjanjian itu masih sah dan ia (kontrak yang) mengikat.

"Di bawah perjanjian itu, PKR akan bertanding di 47 kerusi, tetapi kini parti itu mahu lebih - 48, 49, malah 50 kerusi."

Mengenai kerjasama dengan parti pembangkang lain, Chong berkata semua parti PH mungkin terpaksa menyerahkan kerusi masing-masing yang dijangka bertanding.

Dia berkata PH juga mesti terlebih dahulu menentukan sama ada PSB adalah parti pembangkang yang ikhlas dan bukannya parti yang mungkin kemudiannya menukar sokongan mereka kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah.

Justeru, dia berkata PH perlu memerhatikan senario itu apabila menjalin kerjasama dengan pihak lain.

Chong bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PSB dan parti pembangkang lain pada pilihan raya negeri kali ini.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 3 November lalu selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan membatalkan darurat di seluruh negeri pada hari yang sama, yang membuka laluan kepada pilihan raya negeri yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Sumber: Mkini